IPOH - Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin menafikan dakwaan bahawa beliau cuba mensabotaj Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam usaha menangani Covid-19.
Menurut beliau, hubungannya bersama Saarani sangat akrab sebagai satu pasukan pentadbiran kerajaan negeri.
Jelasnya, beliau akan terus membantu usaha menangani Covid-19 di Perak walaupun Menteri Besar merupakan Pengerusi Jawatankuasa berkaitan pandemik tersebut.
"Saya sebenarnya memang turun padang dan membantu banyak perkara berkaitan alam sekitar. Saya juga melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) tetapi tidak maklum kepada media.
"Mungkin itu kelemahan saya sendiri sebab tidak maklum kepada rakan-rakan media, jadi saya mohon maaf," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar secara maya sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, di sini pada Isnin.
Mohd Akmal menjelaskan struktur organisasi berkaitan Covid-19 dipengerusikan oleh Saarani dan dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
ADUN Hulu Kinta dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhamad Arafat Varisai Mahamad sebelum ini mendedahkan bahawa terdapat Exco kerajaan negeri dari Perikatan Nasional (PN) yang mensabotaj usaha menangani Covid-19 oleh kerajaan Perak.
Dakwaan itu kemudiannya dinafikan Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
ARTIKEL BERKAITAN: PN Perak nafi ada Exco sabotaj