SHAH ALAM - Usahawan kereta mewah dan penerbit akhbar tabloid di tahun 1980-an, Era Baru, Datuk Idris Tulis meninggal dunia awal pagi Isnin.
Allahyarham semasa hayatnya merupakan seorang tokoh korporat kereta mewah, penulis politik dan penerbit yang dikenali ramai.
Kolumnya, Idris Tulis Menulis di akhbar mingguan terbitannya Era Baru diikuti ramai kerana mengandungi coretan di sebalik dunia politik yang tidak diketahui umum.
Selain menerbitkan tabloid Era Baru, beliau yang juga pengimport kereta mewah Porsche pernah bertanding kerusi Majlis Kerja Tertinggi UMNO ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden.
Pejabat beliau di Wisma Central bersebelahan KLCC sering kali menjadi tempat persinggahan tokoh politik negara.
Anak-anak Allayarham dalam kiriman WhatsApp kepada beberapa wartawan veteran lewat tengah malam tadi memaklumkan bapa mereka meninggal dunia pada jam 1.39 pagi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur kerana pneumonia.
"Saya bagi pihak keluarga memohon ampun dan maaf bagi pihak ayahanda kami di atas segala kesalahan beliau dan mohon halalkan makan dan minum ayahanda kami," jelas anak-anaknya, Fouad, Rafiq, Rizal dan Nor Idrila.