Kes positif Covid-19 di Pulau Pinang dijangka menurun bulan depan

Iklan

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Penurunan kes positif Covid-19 di Pulau Pinang dijangka dapat dicapai pada minggu ketiga September ini dengan kadar vaksinasi yang dipertingkatkan.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr Kwanhathai Darin Wong berkata, perkara itu boleh dicapai sekiranya keseluruhan penduduk dewasa di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dalam tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, untuk melihat penurunan kes akan mengambil sedikit masa namun jika semua penduduk mendapat vaksin, selepas dua minggu imunisasi dalam kalangan penduduk meningkat."Vaksin memang tidak dapat melindungi daripada dijangkiti Covid-19, tetapi dapat mengurangkan risiko seseorang itu mendapat simptom yang lebih serius.

"Sebab itu amat penting untuk kita mengambil vaksin tidak kiralah apa jenis sekali pun apabila ditawarkan, bukan hanya untuk perlindungan diri sendiri, tetapi juga orang di sekeliling,” katanya dalam sidang akhbar di KOMTAR di sini pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan atau 100 peratus populasi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada awal September depan.

Pada Ahad, sebanyak 54 peratus rakyat Pulau Pinang yang berumur 18 tahun ke atas telah mendapat dua dos vaksin, manakala 82 peratus mendapat satu dos.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr Rafidah Md Noor berkata, kesemua hospital awam di Pulau Pinang ketika ini sudah mencapai kapasiti 100 peratus penggunaan bagi rawatan pesakit Covid-19.

Katanya, jumlah itu termasuk sebanyak 876 katil untuk rawatan pesakit tidak kritikal serta 70 katil unit rawatan rapi (ICU).

"Bagi menghadapi pertambahan kes dan memastikan perawatan kepada pesakit kategori 3, 4 dan 5, bilangan katil yang lebih amat diperlukan.

"Tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang adalah untuk menambahkan kapasiti rawatan di hospital.

"Sebelum ini, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kepala Batas yang menyediakan rawatan bagi pesakit Covid-19 dan kini Hospital Seberang Jaya serta Hospital Bukit Mertajam juga telah dijadikan hospital untuk merawat pesakit Covid-19," katanya.