KUALA LUMPUR - Tiada sebarang unsur pilih kasih dalam tindakan penguatkuasaan melibatkan pelanggaran undang-undang yang ditetapkan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata, penguatkuasaan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira bangsa.
Menurutnya, mereka yang didapati melanggar peraturan seharusnya akur dengan tindakan yang dikenakan tanpa menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.
"Kita ambil tindakan ikut undang-undang, yang kata hanya Melayu saja kena tindakan itu tak betul.
"Ada juga peniaga Cina tak berlesen pun kena tindakan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau mengulas berhubung video tular melibatkan tindakan sitaan barangan peniaga food truck di Jalan Genting Klang, Setapak yang didakwa tidak adil terhadap peniaga Melayu.
Tambah Khalid, tindakan tersebut diambil berikutan peniaga berkenaan tidak mempunyai lesen sedangkan peniaga lain yang beroperasi di situ berlesen.
"Malangnya apabila diambil tindakan, peniaga berkenaan bertindak balas dengan kata-kata kasar dan sebagainya.
"Anggota penguatkuasa juga manusia... jika kena makin hamun dan sebagainya mereka pun naik marah juga," katanya.
Justeru beliau berkata, semua pihak terlibat dinasihatkan agar lebih bertenang.
"Saya minta semua bertenang, yang tak ada lesen jangan timbulkan masalah lagi dan untuk penguatkuasa juga saya pesan agar lebih bertenang dan pekakkan saja telinga,” katanya.
Terdahulu sebuah video berdurasi hampir 4 minit tular di media sosial memaparkan tindakan anggota penguatkuasa DBKL menyita barangan perniagaan milik seorang peniaga Melayu.
Peniaga berkenaan yang cuba menghalang tindakan tersebut dilihat ‘dipegang’ salah seorang anggota penguatkuasa sebelum berlaku kekecohan.