15 tan udang harimau sukar dipasarkan

Iklan
Kira-kira 15 tan udang harimau yang diusahakan LKIM Melaka di Kampung Sebatu, Sungai Rambai, Jasin berdepan masalah untuk dipasarkan berikutan sekatan pergerakan. Gambar hiasan 123rf.

MELAKA - Kira-kira 15 tan udang harimau yang diusahakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka di Kampung Sebatu, Sungai Rambai, Jasin berdepan masalah untuk dipasarkan berikutan sekatan pergerakan.

Pengarah LKIM Melaka, Rosli Mustapa berkata, hasil ternakan itu tidak dapat dieksport ke Johor dan Singapura, selain medan ikan bakar tidak dapat beroperasi berikutan negeri ini masih dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Iklan
Iklan

"Masalah itu juga menyebabkan harga udang harimau saiz L yang diternak itu mengalami penurunan iaitu sekitar RM26 sekilogram berbanding sebelum ini antara RM30 hingga RM35 sekilogram.

"Kebanyakan pembekal juga terpaksa mengehadkan pengambilan udang harimau ini ekoran pandemik Covid-19. Situasi ini menyebabkan pihak kita terpaksa menanggung beban kos operasi yang tinggi seperti makanan, utiliti dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau sebelum itu menghadiri Penyerahan Bantuan 'MAFI Prihatin' dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan 2021 dan sambutan Jubli Emas 50 tahun LKIM di Kompleks Perikanan LKIM di Sungai Duyong di sini.

Sebanyak 30 kotak makanan berupa barangan keperluan seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya diserahkan kepada nelayan yang terjejas disebabkan pandemik.

Iklan

Sementara itu, Rosli berkata, antara langkah jangka pendek yang diambil adalah dengan menjual udang tersebut secara penghantaran terus ke negeri-negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Selangor oleh ejen yang dilantik.

Beliau berkata, menerusi langkah berkenaan sebanyak 200 hingga 300 kilogram udang harimau berjaya dijual setiap minggu, namun baki udang yang berada di kolam masih banyak.

Selain itu, menurut Rosli, harga ikan seperti jenahak, kerapu, ikan merah dan siakap di negeri ini juga mengalami penurunan ketara sehingga 20 peratus akibat kekurangan permintaan, ekoran medan ikan bakar tidak dibenarkan beroperasi.

"Berbanding dahulu kebiasaannya ikan premium ini telah ditempah oleh pembekal dan apabila hasil laut segar yang didaratkan di jeti ia dihantar terus ke pengusaha ikan bakar," katanya. - Bernama