SHAH ALAM – Persoalan bagaimana hendak menguruskan pekerja yang tidak mengambil vaksin adalah isu yang perlu ditangani dengan bijak dan berhemah.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, pihak syarikat perlu peka dan bertimbang rasa terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin kerana beberapa faktor yang menghalang mereka daripada berbuat demikian.
"Oleh kerana kerajaan tidak menjadikan pengambilan vaksin sebagai kewajipan kepada rakyat, maka syarikat tidak boleh menjadikan ingkar mengambil vaksin sebagai alasan yang adil dan wajar untuk memberhentikan pekerja.
"Syarikat tidak boleh menjadikan isu vaksin sebagai sebab atas tindakan disiplin umpama ‘lebih lajak dari laju’ dalam menangani isu vaksin sedangkan kerajaan memberi kelonggaran terhadap kewajipan pengambilan vaksin,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Kamarul Baharin pada masa yang sama turut mencadangkan agar kerajaan merangka satu prosedur operasi standard (SOP) bagi tatacara yang perlu dibuat oleh semua majikan untuk mengendalikan isu pekerja yang ingkar mengambil vaksin dalam pekerjaan.
"SOP ini menjadi panduan kepada pekerja dan syarikat dalam mengatasi isu ini. Jangan biarkan perkara ini diuruskan oleh pihak pekerja dan syarikat tanpa panduan daripada kerajaan.
"MTUC menggesa kerajaan mengambil keputusan segera terhadap isu pengambilan vaksin kerana ia akan memberi kesan kepada pekerjaan dan sosial seperti perceraian atas alasan tidak mengambil vaksin,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menggalakkan pekerja untuk mengambil vaksin demi kebaikan dan keselesaan semua pihak.
Tambahnya, pengambilan vaksin sehingga mencapai 80 peratus imuniti kelompok akan mempercepatkan pembukaan sektor ekonomi dan sosial.
"MTUC mengiktitaf kepentingan dan keberkesanan vaksin kepada pekerja yang mengambil vaksin.
"Kita turut merayu agar pekerja mendapatkan vaksin sebagai usaha untuk menjaga diri, keluarga, rakan sekerja dan masyarakat," ujarnya.