Wartawan harus mahir isu dasar kerajaan: Abang Johari

Iklan
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Bernama
SIBU - Wartawan di Sarawak harus mempunyai garis panduan mengenai etika dan cukup mahir mengenai isu-isu, terutama yang melibatkan dasar dan program kerajaan.

Ketua Menteri Sarwak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata maksud kewartawanan, terutama dalam era digital, adalah untuk menyediakan maklumat yang diperlukan oleh rakyat untuk membuat keputusan terbaik dalam kehidupan.

Bagaimanapun, tidak ramai orang mengambil peduli atau inisiatif untuk memastikan kesahihan atau kebenaran maklumat tersebut, dan oleh itu menyebabkan"berita palsu" itu tersebar luas yang kadang-kadang disengajakan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu akan memesongkan pemahaman tentang isu-isu yang kompleks dan sering kali menyebabkan maklumat yang salah disalurkan.

"Selalunya kita hanya akan memperoleh berita dari sebelah pihak mengenai isu-isu tertentu. Sebab itulah peranan profesional anda lebih diperlukan sekarang," kata beliau pada majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2018 di sini malam tadi.

Teks ucapan Abang Johari' dibacakan oleh timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau memuji Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) kerana menganjurkan acara itu dan"Kategori Ekonomi Digital."

"Saya boleh menyatakan bahawa walaupun kita kadang-kadang tidak menyukai berita terkini, terutama fakta yang mencerminkan kekurangan bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menyokong sumbangan dan khidmat wartawan," kata Abang Johari. - Bernama