SHAH ALAM – Jemaah Menteri yang baru dilantik diharap akan memberikan tumpuan segera kepada usaha memulihkan negara daripada wabak Covid-19 menyalurkan bantuan kepada golongan rakyat yang memerlukan dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.
Iklan
Iklan
"Maka, fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Bekas Perdana Menteri itu menambah, program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin setakat ini perlu dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Begitu juga dengan pembukaan sektor ekonomi mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak Covid-19,” ujarnya.
Katanya, program bantuan prihatin rakyat juga perlu diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara.
"Saya mendoakan barisan Jemaah Menteri sentiasa diberikan hidayah dan inayah ALLAH SWT untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.