PKPD di tujuh lokaliti di Sabah, Pahang, Kelantan mulai Rabu ini

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tiga lokaliti di Kelantan dan masing-masing dua lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu hingga 14 September ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad.

Beliau berkata, lokaliti di Kelantan melibatkan Kampung Lata Tual, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian di Kuala Krai sementara di Pahang membabitkan Kampung Batu Papan dan Kampung Batu Papan Tengah di daerah Bera.

Iklan
Iklan

"Di Sabah pula melibatkan Kampung Lotong di Kota Marudu dan Kampung Penangah di Tongod,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di Kampung Temalian di Raub, Pahang dan Kampung Hidayat di Tawau, Sabah yang sepatutnya tamat esok turut dilanjutkan bagi tempoh sama hingga 14 September ini, manakala tujuh lokaliti PKPD di Pahang dan Sabah pula ditamatkan esok.

Iklan

"PKPD yang ditamatkan esok mengikut jadual ialah Kampung Luit di Maran, Pahang manakala di Sabah melibatkan Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik; Kampung Sri Aman Batu 3 ½ Jalan Apas; Taman Semarak Jaya serta Lorong Damai dan Lorong Haji Marzuki di Jalan Damai di daerah Tawau.

"PKPD di Kampung Kuala Abai di Kota Belud juga di Sabah turut ditamatkan esok, iaitu sehari lebih awal daripada jadual," katanya. - Bernama

Iklan