AS gagalkan cubaan serangan kedua

Iklan
Kenderaan dipandu anggota Daesh-Khorasan yang musnah dibedil dron AS ketika ia didakwa cuba melancarkan serangan kedua di lapangan terbang Kabul. - Foto Agensi

WASHINGTON - Serangan dron yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) berjaya menggagalkan cubaan serangan kedua ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di ibu kota Afghanistan pada Ahad ketika operasi pemindahan memasuki fasa terakhir.

Pegawai di Washington mengesahkan operasi itu menyasarkan anggota kumpulan militan, Daesh-Khorasan selepas suspek dipercayai memandu kenderaan yang membawa sejumlah besar bahan letupan.

Iklan
Iklan

Rakaman stesen TV menunjukkan keadaan kenderaan itu yang musnah dengan sistem pelancar turut dilihat di tempat duduk belakang ketika ia berada pada jarak kira-kira dua kilometer daripada lapangan terbang tersebut.

Insiden itu berlaku selepas Presiden Joe Biden memberi amaran tentang risiko serangan kedua dalam tempoh 24-36 jam di lapangan terbang tersebut sebelum proses pengunduran tentera AS selesai selepas kejadian pengeboman bunuh diri meragut lebih 100 nyawa pada Khamis lalu.

Iklan

Sebagai langkah berjaga-jaga, Biden telah mengarahkan komander tentera untuk melipatgandakan usaha melindungi keselamatan di kemudahan tersebut.

Sementara itu, Washington memaklumkan ia melancarkan siasatan terhadap laporan CNN yang mendakwa sebuah keluarga termasuk enam kanak-kanak terkorban ketika serangan dron tersebut.

Iklan

Jurucakap Pusat Perintah AS (CENTCOM), Kapten Bill Urban berkata, mereka mengambil serius perkara itu selepas media tempatan turut melaporkan sejumlah orang awam terbunuh dalam kejadian tersebut.

"Kami masih menilai impak serangan itu berikutan bahan letupan yang dibawa suspek turut menyebabkan letupan dahsyat dan serpihannya mungkin mengenai mangsa yang berada di kawasan berhampiran. Kami berasa amat kesal jika kejadian itu meragut nyawa tidak berdosa,” ujarnya lagi.

Taliban dalam satu kenyataan memberitahu mereka turut melancarkan siasatan ke atas serangan dron AS tersebut untuk memastikan sama ada sasarannya adalah benar-benar pengebom bunuh diri yang membawa kereta sarat bahan letupan atau sebaliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumah Putih mengesahkan lima roket dilancarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, namun berjaya ditembak jatuh sistem pertahanan misil di kemudahan tersebut.

Serangan itu tidak menyebabkan kematian atau kemusnahan di lapangan terbang tersebut, namun mencetuskan panik kepada penduduk setempat berikutan kebanyakan masih berharap untuk meninggalkan negara berkenaan pada saat akhir sebelum operasi pemindahan itu tamat. - AFP