Penduduk Taman Sri Purnama 'berperang' sambut merdeka

Iklan
Muhamad Arif (kiri) bersama ahli jawatankuasa Persatuan Taman Sri Purnama meninjau kediaman penduduk yang dihiasi cantik dengan Jalur Gemilang.

PASIR PUTEH - Penduduk Taman Sri Purnama, di sini 'berperang' sesama mereka bagi menzahirkan semangat kecintaan pada negara sempena Hari Kebangsaan ke-64 dengan menghias kediaman masing-masing menggunakan Jalur Gemilang.

Mereka bukan sahaja bermandi peluh malah menjadikan pelbagai barangan terbuang, pokok bunga, lukisan dan banyak lagi sebagai 'senjata' bagi menzahirkan semangat patriotik.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengerusi Persatuan Taman Sri Purnama, Muhamad Arif Ab Kadir berkata, pihaknya terkejut melihat kesungguhan luar biasa penduduk di sini yang terdiri daripada 54 buah keluarga demi sambutan merdeka kali ini.

"Ini merupakan kali pertama pihak kami menganjurkan pertandingan hias kediaman sempena sambutan kemerdekaan.

Iklan
Penduduk di Taman Sri Purnama, Pasir Puteh bersemangat menghias kediaman mereka dengan Jalur Gemilang.

"Oleh kerana negara masih lagi dalam suasana pandemik kami memilih untuk menghias kediaman berbanding meraikan dengan aktiviti lain," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurutnya, tahun sebelumnya mereka meraikan Hari Kebangsaan dengan mengadakan sukaneka serta perarakan.

Iklan

Beliau berkata, apa yang membanggakan buat julung kalinya penduduk mendapat kerjasama daripada Jabatan Penerangan Pasir Puteh dengan menyediakan hadiah kemenangan serta sumbangan Jalur Gemilang kepada setiap rumah penduduk.

"Kami bangga menjadi sebahagian daripada generasi yang menikmati pengorbanan orang tua-tua dahulu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah," katanya.

Sementara itu Mohd Sharkawi Abdul Rahman, 33, mengakui teruja dapat menjayakan program tersebut sehingga dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama.

Mohd Sharkawi dan isteri serta anak-anaknya menunjukkan hiasan kemerdekaan di hadapan rumah mereka di Taman Sri Purnama, Pasir Puteh yang dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama.

Mohd Sharkawi berkata, hanya bermodalkan RM100 dan menggunakan barangan terpakai, dia dan isteri, Roazlinawati Mohamad, 31, cuba membangkitkan semangat kemerdekaan melalui hiasan yang dicipta.

Dia berkata, walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19, semangat kemerdekaan tetap perlu disemarakkan sebaik mungkin kerana ia lambang perjuangan generasi terdahulu.

"Kami sebagai generasi pewaris perlu terus mempertahankan keamanan ini untuk anak-anak cucu pada masa depan," katanya.