SHAH ALAM - Korban nyawa demi kasih. Itu ungkapan sesuai untuk penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin yang bertarung nyawa akibat Covid-19 sehingga ke nafas terakhir selepas beberapa hari melahirkan anaknya.
Perkongsian pelawak dan usahawan, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad mengundang sebak apabila menceritakan pengorbanan dan kesusahan yang dilalui oleh mereka pasangan suami isteri daripada awal.
Shuib berkata, isterinya, Siti Sarah telah mengorbankan dirinya untuknya dan keluarga.
"Tajuk hari ini ‘Korban nyawa demi kasih’ memang sangat tepat untuk dia.
"Saya tidak tahu macam mana lagi nak cakap pasal dia sebab bukan soal anak saja, dia korbankan seluruh hidupnya,” katanya ketika dalam program Mak Untuk Malaysia (MUM) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Turut hadir sebagai barisan panelis ialah Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Columbia Dr Malar Santhi Santherasegapan; bekas pesakit Covid-19, Farahana Amira dan Pesara Polis, Jenny Ong Chin Lan manakala Hazlin Hussain sebagai pengacara.
Pada 9 Ogos, Siti Sarah meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada jam 5.13 pagi Isnin.
Mengulas lanjut, Shuib berkata, Siti Sarah memilih untuk meninggalkan hasratnya menyanyi di pentas antarabangsa semata-mata untuk berkahwin dengannya.
"Dia pilih untuk hidup dengan saya dan melalui hidup yang sangat susah. Hidup tak sama seperti orang lain.
"Tetapi dia ikut sahaja, dia tak kisah naik kereta apa, kena buat apa. Dia berniaga duduk di pasar malam, duduk di baazar, dia bagi semua,” ujarnya.
Sementara itu, bekas pesakit Covid-19, Farahana Amira turut berkongsi pengalamannya yang melalui perubahan ketara dari segi stamina.
"Kalau dulu saya sangat aktif tetapi sekarang saya tidak boleh aktif macam dulu. Walaupun untuk makan pun berada dalam keadaan mengah.
"Kadang-kadang kerja itu kita sudah boleh buat contohnya angkat dan basuh pinggan tetapi jujur saya cakap apabila kita dah pernah menghadapi penyakit ini di dalam badan kerja yang mudah itu sebenarnya akan rasa susah.
"Bahagian dalaman badan kita seolah-olah mengatakan kita tidak larat, badan kita benar-benar penat,” jelasnya.