Selangor lancar fungsi Sehat tangani isu kesihatan mental

Iklan
Amirudin ketika Majlis Pelancaran Aplikasi Kesihatan Mental Selangor secara dalam talian di Facebook pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melancarkan fungsi baharu dalam aplikasi SELangkah, iaitu Selangor Mental Sihat (Sehat) bagi menangani isu kesihatan mental yang dialami rakyat akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tersebut dirangka setelah mendapati jumlah kes bunuh diri di Selangor sebanyak 117 kes sehingga Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk membangunkan program Sehat bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental dan mengurangkan stigma masyarakat.

Beliau ketika Majlis Pelancaran Aplikasi Kesihatan Mental Selangor secara dalam talian di Facebook pada Isnin berkata, program menyediakan platform bagi rakyat Selangor melakukan saringan awal kesihatan mental dan intervensi awal secara dalam talian.

Amirudin

Iklan

"Pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental mereka dengan melakukan ujian saringan awal secara kendiri yang merangkumi skala stres (stress scale) dan saringan risiko (risk screening).

"Setelah mendapat keputusan saringan, pengguna akan diberikan akses percuma kepada pelbagai intervensi awal yang disediakan melalui fungsi Sehat.

Iklan

"Para pengguna boleh menonton 30 video kesihatan mental berkenaan tajuk penting yang membantu pengguna mendapatkan maklumat asas mengenai kesihatan mental dan dilengkapi dengan jurubahasa isyarat untuk menyokong golongan orang kurang upaya (OKU) di Selangor,” katanya ketika Majlis Pelancaran Aplikasi Kesihatan Mental Selangor secara dalam talian pada Isnin.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan melalui perkongsian bersama pasukan penyelidk dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa).

Selain itu, Amirudin berkata Sehat juga mewujudkan Forum Sokongan Peer atau Forum Sehat yang membolehkan para pengguna bertanya pandangan pengendali forum dan berbincang bersama pengguna lain.

"Saya juga ingin mengumumkan Talian Sehat iaitu talian sokongan psikososial yang disediakan untuk pengguna mendapatkan nasihat dan khidmat kaunseling daripada 31 kaunselor bertauliah.

"Pastikan anda memuatnaik aplikasi SELangkah untuk menikmati inisiatif Sehat yang dibangunkan khusus untuk anda,” katanya.