Mangsa, Husin Abd Hamid, 74, dari Felda Chini Timur 1, Pekan disahkan meninggal dunia jam 10.20 malam hari yang sama ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pekan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 4.15 petang itu, pemandu ambulans, Zulkafli Yasin, 50 mengalami sakit dada manakala seorang jururawat, Nurul Shaqima Hidayah Abdul Jamal dilaporkan cedera pada bahagian belakang.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Felda Chini Timur 1.
"Mangsa yang turut menghidap asma kronik itu baru selesai menjalani proses kuarantin di Hospital Pekan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian di mana keadaan jalan agak berbatu kerana sedang dalam proses dinaiktaraf, ambulans tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang berhampiran," katanya.
Kamarulzaman berkata, akibat kejadian mangsa bersama pemandu dan jururawat dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
"Bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan selepas laporan ujian Covid-19 diterima," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.