Kerajaan perlu bersedia adakan sidang Parlimen hibrid: Azalina

Iklan
Azalina Othman Said

SHAH ALAM – Kerajaan harus lebih kreatif dan terbuka untuk memberikan platform yang lebih proaktif kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memainkan peranan lebih efektif selari dengan kemodenan sistem yang berlaku dalam negara dan seluruh dunia.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan harus bersedia untuk berubah dan melakukan reformasi antaranya dengan mengadakan parlimen hibrid.

Iklan
Iklan

"Saya lihat di negara luar, parlimen hibrid dianggap perlu sebagai Pelan B.

"Dalam negara kita, benda-benda pelik bin ajaib berlaku dan Covid-19 selalu menjadi penyebab kepada banyak keputusan yang menyebabkan Parlimen ditutup dan sebagainya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program bertajuk ‘Ground Zero: Kemana Hala Tuju Reformasi Parlimen?’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Isnin.

Turut menjadi panel, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bertindak sebagai moderator.

Iklan

Mengulas lanjut, Azalina yang merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menafikan bahawa apabila Parlimen bersidang, ia berbeza dengan bersidang di luar dewan.

"Disebabkan itu, untuk pengemasan perlunya ada satu sidang khas (seperti) perlunya pindaan kertas statut 235 berhubung elaun ahli Parlimen dan akta 346 tentang keistimewaan dan kuasa terhadap setiap ahli Parlimen,” katanya.

Menurutnya, antara pindaan lain ialah berkenaan tentang aturan mesyuarat, susunan mesyuarat, risalat, tentang pertanyaan, usul penangguhan, mesyuarat tamat, bahasa dan pengundian yang merupakan antara aspek yang mencabar.

"Kita kena undi peribadi. Kita di Malaysia tidak ada undi proksi di mana seseorang itu tidak boleh mewakilkan undi kepada orang lain.

"Pindaan terhadap peraturan-peraturan ini harus dilakukan disebabkan adanya kepincangan kerana ia tidak mengambil kira jika ia berlaku dalam bentuk dalam talian. Itu cabaran yang paling utama,” katanya.

Selain itu, antara perkara lain yang perlu dipinda adalah tentang akta 347 yang merupakan akta paling sensitif berkenaan hak istimewa dan kuasa.

"Seperti yang anda tahu sebagai ahli Parlimen apa yang kita cakap dalam Parlimen itu kita diberi imuniti sebagai satu perlindungan bahawa kita tidak boleh dituduh atas apa-apa kesalahan sekiranya kita membawa isu-isu yang dianggap seolah-olah seperti fitnah atau berbaur fitnah.

"Banyak pendapat membicarakan tentang (Parlimen) hibrid semua perkara ini perlu dilakukan secara bersama.

"Jika tidak, sekiranya kita bercakap menerusi dalam talian, kita boleh disaman tetapi dalam Dewan Rakyat kita tidak disaman. Itu senario yang perlu kita lihat,” jelasnya.