KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menyeru rakyat Malaysia untuk bersepakat dengan kerajaan bagi membantu peniaga, usahawan dan rakyat menangani kesukaran kewangan dan ekonomi akibat Covid-19.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada Selasa, Presiden NCCIM, Datuk Low Kian Chuan berkata, rakyat Malaysia termasuk komuniti perniagaan perlu mewujudkan perpaduan nasional yang erat bagi memerangi pandemik Covid-19 sebagai krisis terburuk yang pernah berlaku.
"Hari Kemerdekaan adalah waktu yang tepat untuk mendorong keajaiban konsep ‘Keluarga Malaysia’ bagi memberikan kekuatan perpaduan memerangi Covid-19 serta menggerakkan jentera ekonomi negara dan ekosistemnya untuk kembali beroperasi dan melonjak maju bersama-sama pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan.
Persekutuan lima pertubuhan perdagangan itu yakin rakyat Malaysia bersemangat dan optimis bahawa kemenangan pasti berlaku yang mana ‘Keluarga Malaysia’ akan menjadi faktornya melalui kesedaran bahawa perpaduan nasional merupakan elemen penting.
Menurutnya, kerajaan perlu membina semula keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kecekapan dan kemampuannya melaksanakan langkah berkesan bagi memerangi Covid-19 melalui tindak balas ekonomi yang tepat pada masanya untuk membantu perniagaan dan rakyat yang terjejas.
Katanya, ia sekali gus mengemudi negara untuk keluar daripada krisis ini, menuju landasan ekonomi yang lebih kukuh.
"Kami berharap kerajaan serta Majlis Pemulihan Negara dan Pasukan Petugas Khas Covid-19 akan terus mengkaji, meningkatkan dan menentukur semula strategi memerangi pandemik serta membantu rakyat dan perniagaan untuk bersiap sedia bagi pembukaan semula ekonomi yang selamat, berjaya dan lestari,” katanya.
Tambahnya, NCCIM dan lima dewan konstituennya dengan kerjasama persatuan perdagangan dan industri akan kekal komited membantu komuniti perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana untuk terus bertahan dalam tempoh yang sukar ini. - Bernama