IPOH - Baucar pelancongan Perak #TravelPerakLah dilancarkan semula dengan beberapa penambahbaikan kaedah penebusan dan tempoh penggunaan yang dilanjutkan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, menerusi inisiatif itu, baucar yang telah dilancarkan pada 1 Julai 2020 lalu dilanjutkan tempoh penggunaan serta penebusannya di lokasi produk, pengusaha hotel dan agensi pelancongan domestik sekitar Perak bermula hari ini sehingga Jun 2022.
Menurutnya, langkah itu sebagai usaha menyemarakkan kembali sektor pelancongan di Perak yang dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas pembukaan semula secara terkawal melibatkan hotel dan homestay.
"Sebanyak 125 pemain industri terdiri daripada pengusaha hotel, produk pelancongan dan agensi pelancongan berdaftar terlibat yang mana pelancong boleh membuat penebusan secara terus apabila membuat pembelian pakej atau penginapan.
"Kaedah penebusan yang telah ditambahbaik ini bertujuan menarik minat lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri merancang dan melawati kesemua lokasi tarikan pelancong yang ada di Perak seperti Kellie’s Castle, TT5 @ Tanjung Tualang dan banyak lagi," katanya dalam sidang media sempena pelancaran semula baucar #TravelPerakLah Fasa 1-3 dan pelancaran baucar #TravelPerakLah Fasa 4 yang diadakan secara maya di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sebagai persediaan kepada pembukaan penuh sektor pelancongan dalam Fasa 4 PPN nanti, kerajaan negeri menyediakan hampir 5,000 baucar yang memfokuskan pengusaha spa dan syarikat agensi pelancongan berdaftar di Perak.
Katanya, inisiatif baucar yang dijadualkan bermula pada 1 Oktober depan sehingga Jun 2022 itu melibatkan 78 pengusaha spa yang berdaftar di bawah Persatuan Usahawan Spa Perak dan 35 syarikat agensi pelancongan di bawah Persatuan Umrah, Haji dan Ziarah (PUHAZ).
"Kita edarkan kepada setiap pengusaha spa 50 baucar yang bernilai keseluruhan RM2,500 sementara agensi pelancongan 30 baucar bernilai RM150 sebagai insentif atau subsidi kepada pakej-pakej yang dijual kepada pelancong nanti.
"Walaupun kita belum beralih ke Fasa Empat lagi, namun usaha ini sebenarnya nak mendorong dari segi tempahan 'advance booking' dan sebagainya supaya orang ramai dapat membuat tempahan awal dengan mengguna pakai baucar berkenaan," katanya.