KUALA TERENGGANU - Polis mengesahkan video tular kesesakan jalan di sepanjang laluan jambatan angkat (drawbridge) yang didakwa sempena sambutan ambang merdeka pada malam Isnin merupakan rakaman lama.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, semakan video terbabit mendapati ia dirakam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.
"Pemantauan dilakukan malam tadi mendapati kesemua laluan di Kuala Terengganu terutama di jambatan angkat lengang pada jam 10.30 malam.
"Pihak berkuasa tidak mengesan sebarang kesesakan trafik atau orang ramai berkumpul bagi menyambut Hari Kebangsaan seperti ditularkan video tersebut," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut Rohaimi, pemantauan di kawasan tersebut dilakukan pasukan pemantau bersama anggota kereta peronda (MPV) serta anggota trafik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dua video yang dikesan tular itu dirakam ketika program ceramah pendakwah Indonesia, Ustaz Abdul Somad pada Februari 2020 serta video sambutan ambang kemerdekaan yang diraikan beberapa tahun lalu.
Beberapa video tular di media sosial Facebook serta aplikasi mudah alih WhatsApp yang mendakwa berlaku kesesakan di jambatan angkat, di sini malam tadi ekoran sambutan malam ambang merdeka.