CHUKAI - Orang kampung diculik, polis dibunuh dan ada yang hilang entah ke mana.
Keadaan itu dinyatakan veteran polis Lans Koperal (B) Abdullah Othman, 92, ketika mengenang kesengsaraan sebelum negara mencapai kemerdekaan terutama ketika komunis mengganas di Terengganu.
Mengingat kembali peristiwa itu, Abdullah berkata, pada 1949, beliau yang bertugas di Balai Polis Kemasik telah diminta membantu anggota polis diserang komunis di Kampung Air Jernih, Kemasik, namun apabila tiba di situ, pasukan yang bertempur itu didapati telah meninggal dunia.
"Melihat darah dan mayat empat rakan setugas membuatkan saya sentiasa sedih sehingga ke hari ini. Kejam sungguh mereka (komunis), bukan sahaja membunuh anggota polis malah menculik orang kampung yang tidak berdosa.
"Kebanyakan mangsa culik tidak dapat ditemukan sama ada hidup atau mati,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Sri Penunjuk, Kijal di sini.
Abdullah yang pernah diminta beberapa pihak untuk berkongsi pengalaman di sebalik kemerdekaan tanah air berkata, jerit perih melawan komunis dan perjuangan memastikan negara bebas daripada cengkaman penjajah berbaloi apabila tiba 31 Ogos 1957.
Ia bukan sahaja tarikh keramat tetapi juga ‘tuah’ apabila beliau dapat menyaksikan sendiri bendera Union Jack diturunkan pada malam 30 Ogos 1957 dan mendengar laungan ‘Merdeka’ pada keesokannya oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
"Ketika itu perasaan bercampur baur antara gembira dan syukur. Ada yang tidak dapat menahan sebak dan kami saling berpelukan. Air mata saya mengalir laju terkenang pelbagai kejadian di depan mata,” katanya dalam nada sebak.
Menurut Abdullah, beliau berpeluang hadir ke majlis menurunkan Union Jack di Padang Kelab Selangor itu kerana sedang menjalani latihan polis hutan di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor dan ditugaskan untuk mengawal keselamatan bermula 30 Ogos 1957 dan keesokannya di Stadium Merdeka.
Abdullah berkata, selepas selesai bertugas di Padang Kelab Selangor, beliau dan anggota polis lain bergegas ke Depot Polis Kuala Lumpur (kini Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur) untuk membuat persiapan sebelum ke Stadium Merdeka dan setiba di sana, beliau dapat menyaksikan ribuan orang ramai telah hadir untuk bersama-sama menyambut kemerdekaan.
"Tepat jam 12 tengah malam 31 Ogos 1957, ramai yang menyaksikan detik bersejarah itu. Saya cukup berbangga apabila melihat bendera kita dinaikkan dan berkibar megah. Sudah terlalu lama rasanya (ketika itu) menunggu saat pembebasan tanah air.
"Ketika pengisytiharan itu, saya ditempatkan di lokasi yang agak tinggi untuk memantau keadaan keselamatan dan dari situ dapat dilihat dengan jelas seluruh keadaan di dalam stadium,” katanya dengan menambah pengalaman tersebut paling berharga buat dirinya sepanjang berkhidmat lebih 30 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.
Bapa kepada empat anak yang saban tahun akan menonton semula detik kemerdekaan menerusi televisyen mahupun Internet dengan ditemani isteri Ngah Jusoh, 88, berkata usia lanjut bukan penghalang untuk beliau menzahirkan semangat patriotik.
Berdasarkan prinsip itu, beliau sering menghiasi kawasan rumahnya dengan Jalur Gemilang sekali gus mengingatkan generasi kini tentang pentingnya menghayati kemerdekaan negara. - Bernama