Kerajaan akan terbitkan kertas konsultasi kerangka Akta Tanggungjawab Fiskal

Iklan
Kerajaan akan menerbitkan kertas konsultasi awam mengenai kerangka Akta Tanggungjawab Fiskal untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak berkepentingan,

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menerbitkan kertas konsultasi awam mengenai kerangka Akta Tanggungjawab Fiskal untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak berkepentingan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Dalam kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan pada Selasa, MoF berkata, kerajaan juga telah melaksanakan kajian semula perbelanjaan awam untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, seterusnya menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan membina semula ruang fiskal.

Iklan
Iklan

"Secara keseluruhan, kerajaan kekal komited terhadap langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan,” katanya.

Menurut MoF, terdapat keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam mengukuhkan ekonomi domestik dan memastikan pemulihan yang mampan.

Iklan

Sasaran defisit Malaysia dianggarkan meningkat kepada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 berikutan perbelanjaan fiskal berterusan yang diperlukan bagi menyokong pembukaan ekonomi secara berfasa.

"Bagaimanapun, melalui semakan semula prospek pertumbuhan dan sasaran fiskal selaras pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara, kerajaan perlu memastikan ruang fiskal yang mencukupi dalam mendepani krisis pandemik,” katanya.

Iklan

Sehingga akhir Jun 2021, paras hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada 61.2 peratus kepada KDNK dengan hutang statutori mencatat 56.8 peratus, iaitu masih di bawah had statutori 60 peratus.

Dalam jangka masa sederhana, trajektori konsolidasi fiskal akan bergantung kepada pemulihan daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

Menurutnya, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada langkah mengembalikan landasan pertumbuhan negara kepada tahap potensi bagi membolehkan rakyat dan perniagaan menyesuaikan diri dengan norma baharu serta meningkatkan pelaburan bagi menjana pertumbuhan masa depan ke arah menyediakan peluang pekerjaan lebih baik.

Menurut kementerian, operasi fiskal telah dan akan disokong melalui rasionalisasi perbelanjaan dengan mengutamakan pakej bantuan tambahan bagi memperkukuh sektor kesihatan dan ekonomi.

"Langkah ini termasuk menangguhkan pelaksanaan beberapa program dan projek, menyekat perbelanjaan yang tidak kritikal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan mengoptimumkan operasi di bawah norma baharu untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” katanya.

Selain itu, MoF berkata, kekurangan hasil dijangka dapat diimbangi oleh kutipan lebih baik daripada hasil berkaitan komoditi berikutan harga minyak mentah dan sawit yang lebih tinggi. - Bernama