KUALA KURAU - Hajat seorang pelajar kolej kemahiran pulang ke rumah tidak kesampaian apabila maut ditimpa pokok kelapa yang tumbang ketika sedang menaiki motosikal di jalan Kampung Parit Abas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian lebih kurang jam 2.30 petang, Mohamad Ridzuan Abdul Rani,18, penuntut Kolej Vokasional Kerian di Bagan Serai dekat sini, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Saksi kejadian, Zaiton Shaari, 63, berkata, ketika kejadian, dia sedang mengemas pekarangan rumahnya sebelum terdengar bunyi pokok tumbang di jalan hadapan rumahnya.
Menurutnya, bunyi pokok tumbang itu turut diselangi bunyi dentuman kuat seakan-akan kemalangan kenderaan.
"Saya terkejut dan maklumkan kepada anak dalam rumah, bila diperiksa kawasan jalan itu, anak saya tengok pokok kelapa tumbang dengan sebuah motosikal, rasanya terpelanting akibat kemalangan di bahu jalan itu.
"Anak saya cari penunggang motosikal tu, tapi tak jumpa.
"Kami minta tolong orang sama-sama cari, akhirnya jumpa kat balik pokok kelapa yang tumbang," katanya kepada media di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya, keadaan mangsa ketika itu berlumuran darah.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kurau, Azhar Asmuni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.04 petang.
Seramai lapan anggota bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati mangsa terbaring kaku di balik pokok kelapa tumbang dari arah bertentangan jalan.
"Mangsa dipercayai ditimpa pokok kelapa tumbang sewaktu sedang menaiki motosikal melalui jalan kampung itu.
"Hasil pemeriksaan anggota paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian susulan kemalangan itu," katanya.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Abdul Rani Hamdan, 46, berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada rakan memaklumkan anaknya pada jam 3.15 petang.
"Pagi tadi, dia bagitau nak ke kolej siapkan kerja.
"Saya tidak sangka, dia pergi tinggalkan kami sekeluarga buat selamanya dan saya reda dengan pemergiannya," katanya.
Jenazah Allahyarham Mohamad Ridzuan kemudiannya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.