Segerakan pembentangan RUU Warga Emas: Wanita PKR

Iklan
Loh Ker Chean

KUALA LUMPUR - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar menyegerakan tarikh pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Warga Emas.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, pembentangan yang dijadualkan pada 2022 dalam Pelan Strategi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2021-2025 perlu dipercepatkan pada September ini atau selewat-lewatnya akhir tahun.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kewujudan Akta Warga Emas lebih mendesak demi melindungi warga emas yang merupakan golongan rentan berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 daripada penderaan dan pengabaian.

"Ini termasuklah mengelakkan kematian warga emas akibat pengabaian penjaga dalam usaha kita memerangi pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut kesal selepas mendapat maklumat mengenai seorang warga emas dipercayai pesakit Covid-19 yang mengakhiri hayatnya di atas lantai di sebuah hospital di Kedah berdasarkan laporan media hari ini.

Ker Chean sehubungan itu mencadangkan supaya menteri terbabit dapat mempertimbangkan dua perkara dimasukkan ke dalam RUU Warga Emas yang bakal dibentangkan kelak.

Iklan

"Pertama, institusi-institusi atau individu wajib mempunyai akauntabiliti ke atas warga emas bagi memastikan golongan ini selamat daripada penderaan dan pengabaian di bawah penjagaan Institusi atau individu.

"Kedua, penderaan atau pengabaian yang dilakukan terhadap warga emas boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan jenayah di sisi undang-undang sekiranya disabitkan kesalahan," katanya.

Tegas beliau, hak asasi warga emas wajar dilindungi supaya mereka boleh hidup bermaruah, selamat, tanpa pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Saya juga berharap agar siasatan yang dijalankan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo boleh membersihkan nama pasukan barisan hadapan di Kedah dengan bukti dan saksi jika kisah sebenar bukan seperti yang didakwa.

''Pada masa sama, keadilan dapat ditegakkan bagi mangsa sekiranya pendakwaan oleh warganet adalah benar," katanya.