BEAUFORT - Aksi comel dan selamba seorang wanita yang memakai kostum beruang rilakkuma berjaya mencuri tumpuan orang ramai dan petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Pa'Musa pada Isnin.
Noorsyakella Daineh, 30, hadir ke PPV itu bagi mendapatkan vaksin dos kedua turut diserbu orang ramai yang mahu mengambil gambar kenangan bersamanya.
Menurut Noorsyakella, dia hadir ke PPV itu untuk janji temu kedua bagi mendapatkan vaksin dan mengambil keputusan untuk datang dengan memakai kostum itu.
Kata beliau, tujuannya untuk menceriakan orang ramai dan petugas barisan hadapan yang bertugas di PPV berkenaan namun tidak menyangka mendapat sambutan yang mengalakkan.
"Sebaik keluar dari kenderaan, saya terus diserbu oleh orang ramai dan mengambil masa hampir setengah jam melayan permintaan mereka yang mahu mengambil gambar kenangan bersama kostum yang saya pakai.
"Kemudian saya masuk ke dalam dewan untuk proses menerima suntikan vaksin namun semua petugas barisan hadapan terkejut serta teruja apabila melihat saya yang memakai kostum kartun beruang rilakkuma.
"Rata-rata petugas barisan hadapan gembira apabila melihat aksi 'patung bergerak' yang comel sepanjang berada di dalam dewan PPV," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menerima vaksin pada Selasa.
Katanya lagi, walaupun mendapat perhatian daripada orang ramai namun proses mendapatkan vaksin di PPV itu turut berjalan dengan lancar.
"Keadaan di PPV agak sibuk dan difahamkan terdapat kira-kira 500 orang yang hadir bagi mendapatkan vaksin dos kedua hari ini.
"Diharap dengan kehadiran saya ini juga dapat menceriakan orang ramai yang keletihan menunggu giliran masing-masing disebabkan proses janji temu menerima vaksin mengambil masa yang lama," katanya.
Sebelum itu, Noorsyakella turut menyeru orang ramai yang masih belum mendapatkan vaksin supaya hadir ke PPV tersebut bagi mendapatkan dos pertama secara 'walk in'.