Lakukan penyesuaian elak UMNO ditolak rakyat: Bung Moktar

Iklan
Bung Moktar ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Online secara maya di bangunan UMNO, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU - UMNO perlu meneliti perubahan demografi dan melakukan penyesuaian terhadap dasar yang ditunjangi bagi mengelak parti itu ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun banyak kebaikan yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) namun ia tidak lagi dijadikan ukuran ketika negara berhadapan dengan cabaran kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19

Iklan
Iklan

"Kita tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah tetapi mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang lahir 75 tahun lalu tetap menjadi pilihan rakyat.

"Kita mesti akur dan insaf, parti yang tidak menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa walaupun hebat tetap tergugat kedudukannya," katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Online secara maya di bangunan UMNO pada Selasa.

Iklan

Turut serta, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian; Timbalan ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimee Unggi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga memberitahu, perubahan dalam UMNO mesti diteliti supaya selari dengan keadaan semasa.

Iklan

"UMNO mesti lakukan penyesuaian terhadap dasar yang ditunjanginya dengan pendekatan serta tindakan dilakukan di peringkat bahagian dan cawangan selari dengan keadaan semasa.

Bung Moktar turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya mendahulukan rakyat bagi mengelakkan parti itu dilihat berkepentingan sendiri.

"Rakyat kini mahu tindakan serta-merta membantu mereka yang terhimpit dengan cabaran kehidupan selain menyelesaikan isu yang tertunggak," katanya.