KLANG - Menyorok dalam tong sampah, bawah katil, dalam longkang dan atas siling rumah itu antara tindakan yang dilakukan oleh sebahagian 149 pendatang tanpa izin (PATI) bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam Operasi Bersepadu, malam semalam.
Dalam operasi itu, terdapat juga PATI yang cedera ringan selepas nekad terjun dari tingkat dua dan satu bangunan empat tingkat asrama pekerja industri di kawasan Bandar Sultan Suleiman, Klang, Selangor.
Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan Imigresen, sekitar jam 11 malam satu serbuan dilakukan di asrama pekerja industri di kawasan Bandar Sultan Suleiman.
Menurutnya, seramai 679 orang warga asing telah diperiksa. Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 55 tahun terdiri daripada warga negara Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan dan Nepal.
"Semasa serbuan dilakukan terdapat PATI yang bertindak nekad terjun bangunan dan bersembunyi namun tindakan mereka tidak berjaya kerana semua anggota serbuan telah melakukan pemeriksaan secara menyeluruh dikawasan berkenaan. Semua PATI ini berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata, kesemua mereka di bawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut dan di tahan di Depot Imigresen Semenyih dibawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari.
"Kesemua mereka akan disiasat atas kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tamat tempoh pas atau permit.
"Majikan yang menggajikan warga asing secara tidak sah ini juga akan disiasat dan dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Mohamad Shukri menambah, Imigresen Selangor akan smeneruskan operasi seperti ini bagi membendung gejala PATI dan majikan yang dipercayai melakukan kesalahan Imigresen.
Operasi Bersepadu yang tamat jam 4 pagi tadi turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.