Kontroversi keputusan lontaran peluru F20 cemari hari ketujuh

Iklan
Hasrat Muhammad Ziyad hadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila pingat emas dimenangi dibatalkan selepas dibantah oleh kem Ukraine. - Foto Bernama

KONTROVERSI yang melanda keputusan acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) mencemari kempen hari ketujuh kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo di sini hari ini.

Keceriaan jaguh olahraga negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang dilihat telah mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 tidak kekal lama selepas protes dilakukan Ukraine menyebabkan beliau terlepas memenangi pingat itu.

Iklan
Iklan

Mereka mendakwa bahawa atlet berusia 31 tahun itu lewat tiba di bilik menunggu sebelum acara itu berlangsung di Stadium Olimpik, di sini.

Situasi itu menyebabkan status Muhammad Ziyad diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi walaupun telah melengkapkan semua lontaran pada saingan akhir berkenaan.

Iklan

Muhammad Ziyad tidak berkeseorangan selepas dua lagi atlet, Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador dan Todd Hodgets dari Australia turut diberikan status sama.

Kem Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan jawatankuasa teknikal pertandingan kemudian melakukan protes bersama Ecuador dan Australia berhubung keputusan kontroversi itu.

Iklan

Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin juga memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara berkenaan di temasya berprestij itu.

Sementara itu, atlet boccia negara, Chew Wei Lun berpeluang untuk menambah koleksi pingat negara apabila berjaya mara ke akhir acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) esok.

Wei Lun meneruskan momentum cemerlangnya hari ini dengan melebarkan rekod enam perlawanan tanpa tewas apabila melepasi saingan suku akhir dan separuh akhir hari ini dan akan bertemu juara bertahan dari Great Britain, David Smith esok dalam aksi final.

Wei Lun membenam cabaran pemain ke-18 dunia, Andre Ramos dari Portugal, 9-5, di peringkat separuh akhir selepas merekod kemenangan ke atas wakil China, Qi Zhang, 4-2, dalam aksi suku akhir, yang juga berlangsung petang tadi.

Dalam pada itu, malang menimpa skuad berbasikal lebuh raya apabila pelumbanya, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais terpaksa dikejarkan ke pusat perubatan selepas mengalami masalah pernafasan ketika bersaing dalam acara ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan).

Jurulatih kebangsaan, Sallehuddin Mohd Noh berkata, situasi itu menyebabkan Nur Azlia bersama jurumudinya, Nurul Suhada Zainal tidak dapat menamatkan aksi final yang berlangsung di Fuji International Speedway, kira-kira 109 kilometer (km) dari sini.

Katanya, besar kemungkinan mereka berdua terlepas peluang untuk bertanding dalam aksi akhir mereka iaitu acara perlumbaan lebuh raya wanita B Jumaat ini, susulan keadaan Nur Azlia yang kurang cergas.

Pelumba Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula menampilkan kayuhan memberangsangkan dalam acara ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal).

Atlet berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan di Fuji International Speedway, di tempat kelima dengan catatan masa 26:46.5 saat (s) daripada 11 pelumba dalam aksi final.

Cabaran dua lagi wakil negara Muhammad Hafiz Jamali dan Zuhairie Ahmad Tarmizi pula berakhir tanpa membawa pulang sebarang pingat kepada negara.

Muhammad Hafiz yang menyertai acara ujian masa lelaki C5 (kecacatan fizikal) sekadar mengakhiri perlumbaan di tangga ke-12 dengan catatan masa 1:01:35.78s manakala Zuhairie tidak mampu menamatkan perlumbaan. - Bernama