PERBUATAN seorang lelaki merogol dan meliwat sampai mati seorang wanita di Sungai Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, Sabtu lalu adalah sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Menurut polis, suspek berusia 29 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah mengaku memecah masuk rumah mangsa kira-kira jam 3 pagi selepas menghisap dadah jenis syabu bersama rakannya di Sungai Bakap, tidak jauh dari lokasi rumah mangsa.
Syabu adalah dadah yang membelenggu ramai anak muda sekarang.
Kesan ketagihannya amat teruk sehingga membuatkan mereka bertindak agresif untuk mendapatkannya.
Harganya yang mahal menyebabkan ramai penagih syabu melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri demi memenuhi keinginan mereka.
Masyarakat yang dikuasai dadah terbukti akan dilanda berbagai jenayah dan tidak mempunyai maruah.
Masyarakat seperti ini lambat-laun akan hancur atau dikuasai orang lain.
Pengedar dadah pula adalah manusia yang sangat kejam.
Sesetengahnya sengaja memujuk mangsa untuk mencuba kali pertama agar mereka ketagih dan seterusnya membeli berulang kali.
Kerana tamak, mereka juga sanggup memperdaya dan menjerat pelajar sekolah bahkan kanak-kanak yang baru berumur 10 tahun.
Malangnya sekali terperangkap, penagih tidak dapat melepaskan diri lagi.
Secara tidak langsung, anak-anak yang terperangkap tadi ibarat sudah dihukum mati kerana hidup mereka tidak mungkin sempurna lagi bahkan belum tentu panjang umur.
Undang-undang memanglah boleh menghalang merebaknya penyalahgunaan dadah, namun langkah yang lebih berkesan ialah kesedaran masyarakat mengenai dahsyatnya kesan penagihan dadah.
Jika masyarakat sedar dan bertanggungjawab, awal-awal lagi akan disemai dalam hati dan fikiran anak-anak betapa hina dan bahayanya dadah.
Jika anak-anak kita membesar dengan kepercayaan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu jenayah yang lebih buruk daripada mencuri, mereka akan mengelakkan diri daripada dadah.
Jika ibu bapa mengambil berat bukan sahaja terhadap didikan anak-anak tetapi juga mengawasi gerak-geri mereka, kemungkinan mereka menjadi penagih akan berkurang sekali gus dapat mengelak daripada jenayah kejam seperti yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.