KUALA LUMPUR - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan pelantikan Mahadhir Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa pada 1 September 2021.
Dalam kenyataannya, MDEC berkata, Mahadhir mempunyai rekod cemerlang melebihi 20 tahun dalam pelbagai industri seperti perkhidmatan kewangan, tenaga (minyak dan gas), teknologi maklumat dan media.
Iklan
Iklan
"Saya yakin beliau akan menerajui MDEC untuk memacu ekonomi digital negara selari dengan aspirasi bagi memastikan kita dapat terus menyediakan peluang digital yang adil dan saksama kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan,” kata Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.
Sementara itu, ketika mengulas pelantikan beliau, Mahadhir berkongsi kesediaannya untuk memperkukuh asas MDEC, menjayakan misi ‘Reinvent’ (Cipta Semula) dan bekerjasama dengan pasukan agensi itu yang berpengalaman dalam usaha merealisasikan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
"Fokus kini tertumpu ke arah pelaksanaan, pengembangan pelaburan dan penyampaian manfaat ekonomi digital kepada Rakyat. Objektifnya sangat jelas - untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju digital dan Nadi Digital ASEAN,” kata beliau. - Bernama