SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] SubHome dan VIP Pass menawarkan penginapan satu malam percuma di mana-mana hotel milik mereka di seluruh Malaysia kepada individu yang telah menerima vaksin.
Pengarah Jualan The VIP Pass, Nicholas How berkata, mereka yang berminat boleh mendaftar VIP Pas untuk menginap di hotel yang disediakan.
Menurutnya, SubHome dan VIP Pass sedar kebanyakan rakyat Malaysia ingin keluar dari kediaman mereka sendiri untuk bercuti dan pada masa yang sama meraikan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok.
"Kita semua menyedari impak Covid-19 terhadap ekonomi dan pelbagai industri. Menerusi usaha ini, kami ingin memberi insentif kepada rakyat Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok.
"Kami berharap usaha ini memotivasikan lebih ramai orang menerima vaksin sekali gus menjadi pemangkin untuk meningkatkan ekonomi dan membantu industri-industri yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Kita akan kembali kepada kehidupan normal dengan lebih cepat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
How berkata, pelancongan dan perhotelan dijangka akan menerima lebih banyak aktiviti dan diharapkan dapat pulih dengan cepat.
"Ahli-ahli syarikat VIP Pass terdiri daripada veteran-veteran industri pelancongan dan kami ingin membantu sektor ini untuk kembali maju. Kami tahu ramai pengusaha hotel yang telah terkesan tetapi enggan melepaskan kakitangan mereka.
"Kami telah berusaha untuk mencipta produk-produk baharu untuk menolong mereka bangkit semula atau sekurang-kurangnya menyokong mereka untuk terus bertahan sehingga semua ini berakhir,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan tawaran itu, SubHome dan VIP Pass berharap perbincangan mengenai rancangan percutian akan mendorong orang lain untuk menerima vaksin lebih cepat supaya mereka tidak akan ketinggalan dan dapat ikut serta dalam masa-masa yang menyeronokkan.
"Tawaran penginapan percuma satu malam ini boleh dituntut oleh sesiapa sahaja. Satu-satunya syarat ialah mereka perlu menerima vaksin sebelum percutian mereka, sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata, tetamu hanya perlu membayar caj pembersihan sebanyak RM50 dan penginapan disubsidi oleh The VIP Pass.
Tawaran itu boleh dituntut di www.getvippass.com dari sekarang hingga 9 September 2021.
Mereka hanya perlu klik pada pop-up yang muncul di laman web, daftar di link tersebut dan tunggu pengesahan melalui e-mel.
Info
SubHome
-SubHome merupakan pengendali perkongsian rumah terbesar di Malaysia yang menawarkan pengalaman seperti hotel di lokasi di Lembah Klang, Kuantan, Pulau Pinang dan Johor Baru.
-Bilik bernilai RM200 ke atas setiap malam dan setiap suite seluas sekurang-kurangnya 400 kaki persegi.
-Setiap unit menawarkan dapur yang lengkap, Wi-Fi berkelajuan tinggi, peti keselamatan dan Smart TV.
The VIP Pass
-The VIP Pass adalah portal keahlian yang menyediakan pelbagai faedah dan tawaran eksklusif dari industri pelancongan dan penginapan.
-Ia berfungsi untuk memberikan situasi menang-menang bagi para anggotanya dan pengendali.
-VIP Pass yang mempunyai ibu pejabat di Singapura dan pasukan operasi serantau yang berpusat di Malaysia, menawarkan akses lebih dari 3,000 lokasi di seluruh Asia dan Australia.