Lima putera raja ajak rakyat hayati pengertian merdeka

Iklan
- Foto Bernama

KANGAR - Putera raja dari lima negeri iaitu Perlis, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan berkenan mengajak rakyat menghayati pengertian kemerdekaan.

Putera raja bertitah demikian menerusi program ‘Harapan Diraja Pewaris Negara Merdeka’ julung kali diadakan, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disiarkan secara dalam talian, pada Selasa malam.

Iklan
Iklan

Titah diraja itu dimulakan dengan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz yang menzahirkan harapan agar rakyat berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara kerana ia adalah asas kepada pembentukan tanah air yang menyatukan rakyat negara ini.

"Perpaduan antara rakyat berasaskan prinsip Rukun Negara menjadi lebih penting ketika negara berdepan dengan cabaran Covid-19 apabila rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berganding bahu membantu satu sama lain tanpa mengira perbezaan,” titah baginda.

Iklan

Sementara itu, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bertitah, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini berbeza berbanding sebelum ini apabila negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.

"Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar hari untuk bersuka-suka, tetapi untuk kita menghayati dan mengenang erti kemerdekaan bahawa ia bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah dan datangnya dengan izin ALLAH,” titah baginda.

Iklan

Yang di-pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pula mengajak rakyat untuk terus bersatu padu dalam menangani wabak Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Baginda bertitah agar rakyat menyingkap semula sejarah pejuang kemerdekaan negara, sedar dan berpijak di bumi nyata serta berusaha membangunkan negara tercinta.

Seterusnya, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, rakyat Malaysia perlu bersatu hati, mengekalkan perpaduan dan meraikan perbezaan kaum supaya keharmonian yang terbina dapat dikekalkan.

"Marilah kita semarakkan bulan kemerdekaan ini dengan perkara-perkara yang positif,” titah baginda.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah meminta rakyat bersama-sama berusaha membangunkan negara dan bangsa, serta memerdekakan diri daripada segala unsur negatif dan tidak saling menuding jari sebaliknya sentiasa mencari titik persamaan.

"Pada masa yang sama, sebarang pandangan haruslah membina, konstruktif dan mengetengahkan solusi kerana negara kita memerlukan rakyat mentaliti kelas pertama dalam tindakan dan mengamalkan cara hidup selamat, sihat, penyayang, berilmu, rajin serta berdisiplin,” titah baginda.

Kesemua putera raja juga turut menzahirkan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa Covid-19 dan mendoakan agar mereka terus tabah serta semoga penularan wabak ini berakhir dengan secepat mungkin.

Semua putera juga turut menitahkan ucapan terima kasih kepada barisan hadapan negara atas jasa dan pengorbanan dalam memerangi wabak ini, selain mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia. - Bernama