Padah buat bising, langgar SOP

Iklan
Tangkap layar video yang tular remaja yang membuat bising dan melanggar SOP di Bandar Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN - Polis telah menahan lima lelaki pada Selasa susulan tular video di Facebook sekumpulan remaja berkumpul dan membuat bising dipercayai di kawasan Bandar Seremban Selatan di sini.

Terdapat empat video memaparkan sekumpulan remaja berkumpul sambil membuat bising dengan membunyikan ezos motosikal masing-masing.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan antara jam 9 malam hingga 11 malam di sekitar daerah ini.

"Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Negeri Sembilan telah berjaya mengesan dan menahan suspek.

Iklan

"Kenderaan yang digunakan di dalam video itu juga telah ditahan di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987 bagi tujuan pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.

Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 48(1) APJ 1987 kerana kesalahan membuat halangan menggunakan kenderaan di atas jalan raya.

Iklan

Beliau berkata, mereka juga akan dikompaun atas kesalahan melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

"Ujian saringan awal air kencing telah dilakukan ke atas semua suspek dan hasil ujian saringan adalah negatif.

"Tindakan selanjutnya juga telah diambil bagi mengenal pasti sekiranya ada sebarang penglibatan jenayah oleh semua suspek,"katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi SOP PPN yang telah ditetapkan dan mematuhi peraturan jalan raya untuk keselamatan bersama.