BANK Rakyat menawarkan hadiah bernilai lebih RM300,000 menerusi Kempen Jalinan Bank Rakyat 67 bermula 1 September 2021 hingga 31 Oktober 2021 sempena ulang tahun ke-67.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, penganjuran kempen yang berkonsepkan langgan dan menang itu bukan sahaja membantu pelanggan merancang kewangan dengan bijak menerusi tawaran pembiayaan yang disediakan, malah sebagai inisiatif bank bagi menghargai kesetiaan pelanggan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.
"Orang ramai boleh merebut peluang dengan menyertai kempen menerusi langganan produk Pembiayaan Peribadi-i dan Pembiayaan PKS/Mikro/Koperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Syed Abdul Aziz berkata, seramai 67 pemenang cabutan bertuah pada September dan 67 pemenang lagi bagi pada Oktober yang melanggan produk Pembiayaan Peribadi-i dengan pembiayaan minimum sebanyak RM30,000 berpeluang untuk memenangi wang tunai keseluruhan berjumlah RM134,000 yang mana masing-masing menerima RM1,000 setiap seorang.
"Seramai 67 pelanggan bertuah yang melanggan produk pembiayaan PKS/Mikro/Koperasi dengan pembiayaan minimum sebanyak RM20,000 bakal memenangi wang tunai keseluruhan berjumlah RM106,000.
"Bagi kategori produk Pembiayaan PKS/Mikro/Koperasi ini, pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 bagi tempat pertama, RM5,000 bagi tempat kedua, RM2,000 bagi tempat ketiga. Manakala, tempat keempat hingga ketujuh akan menerima RM2,000 setiap seorang dan RM1,000 bagi setiap 60 pelanggan bertuah yang lain,” katanya.