Keluarga 'pak guard' harap pelaku kena hukuman setimpal

Iklan
Philomena menunjukkan gambar suaminya yang telah meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas lapan bulan menderita selepas diserang seorang lelaki ketika bekerja tahun lalu.

IPOH - Ahli keluarga pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di sebuah kondominium di sini, tahun lalu mahu pelaku dikenakan hukuman setimpal.

Isterinya, E Philomena, 59, berkata, hatinya tidak tenang selagi pelaku tidak dijatuhkan hukuman berat atas tindakan melulunya hingga menyebabkan suaminya, S Thavasagayam, 64, terlantar sebelum meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

"Lapan bulan suami terlantar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan lapan kali juga dia menjalani pembedahan akibat kecederaan di bahagian otak kanan.

"Sejak kejadian itu, dia tidak boleh bercakap dan dipasangkan tiub untuk minum susu. Setiap hari, saya berulang alik menjaganya sehingga dia menghembus nafas terakhir setelah dua hari dibawa balik ke rumah," katanya ketika ditemui di Taman Buntong Ria di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, dia berasa sedih dengan kejadian itu dan menganggap kematian mendiang sebagai sia-sia sekiranya tiada tindakan diambil terhadap suspek.

Philomena berkata, mendiang disifatkan sebagai seorang penyabar dan penyayang terhadap dirinya selain disenangi oleh jiran tetangga.

Iklan

"Perkahwinan selama 18 tahun, kami tidak dikurniakan anak, namun kami bahagia berdua. Dia seorang yang penyayang terhadap haiwan terbiar seperti kucing dan anjing serta komited dengan kerjanya walaupun sebagai pengawal keselamatan.

"Sebelum kejadian, dia seorang yang sihat tanpa ada sebarang masalah kesihatan. Apabila melihat dia terlantar, saya sangat sedih kerana tiada lagi gurauan daripadanya," katanya.

Philomena sedih dengan pemergian suaminya pada Jumaat lalu.

Sementara itu, anak saudaranya, Nelson Raj, 36, berkata, kesihatan ibu saudaranya makin terganggu selain murung dengan kejadian itu.

"Apabila doktor maklumkan keadaan bapa saudara saya amat tipis, kami sekeluarga kecewa dan nekad untuk mendapatkan keadilan untuknya.

"Setiap kali dia terpandangkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu, dia akan menangis dan marah. Tiada permohonan maaf pun diterima daripada pihak lelaki tersebut," katanya.

Kes video tular pengawal keselamatan diserang seorang lelaki di sebuah kondominium pada 29 Disember 2020 diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Hasil siasatan mendapati serangan itu berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anak suspek menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pak guard' meninggal, polis klasifikasi semula kes sebagai bunuh