SEREMBAN - Mayat seorang bayi lelaki ditemui terapung di dalam loji kumbahan di Taman College Height, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui oleh pekerja loji yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pada jam 10.38 pagi.
Iklan
Iklan
"Pekerja lelaki terbabit melihat satu objek dipercayai seorang bayi yang telah meninggal dunia terapung di dalam loji kumbahan berkenaan lalu menghubungi polis.
"Polis yang terima maklumat terus ke lokasi dan siasatan mendapati ia adalah mayat seorang bayi cukup sifat yang bangsanya tidak dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, anggaran kematian bayi tersebut lebih dari satu hari dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar(HTJ), di sini untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang bayi.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh salurkan kepada pihak polis," katanya.