Wei Lun hadiahkan pingat perak

Iklan

ATLET Boccia negara, Chew Wei Lun menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara dalam acara individu BC1 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Rabu.

Wei Lun menampilkan tentangan sengit kepada juara bertahan yang juga atlet nombor satu dunia dari Great Britain, David Smith sebelum tewas 2-4 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.

Iklan
Iklan

Pujian perlu diberikan kepada Wei Lun yang tidak diletakkan harapan pingat dengan sasaran sebelum temasya tersebut hanya untuk mara ke suku akhir.

Malah, laluan ke final yang ditampilkan oleh Wei Lun cukup cemerlang mencatat rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan termasuk di peringkat kumpulan yang turut disertai pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2018 dari Thailand, Witsanu Huadpradit.

Iklan

Untuk rekod, ini adalah penampilan sulung Wei Lun di temasya Paralimpik dan penyertaan pertama Malaysia dalam sukan ini.

Pencapaian pemain ke-11 terbaik dunia itu membantu Malaysia menambah koleksi pingat perak kepada dua, selepas atlet powerlifting, Jong Yee Khie merangkul perak pertama dalam kategori lelaki 107kg Isnin lalu.

Iklan

Badang kerdil dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, yang bertanding dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pula muncul atlet pertama negara menghadiahkan emas pertama Sabtu lepas dalam temasya berprestij itu.