Pelantikan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu Ke-16 muktamad: Rais

Iklan
Rais Yatim

JELEBU - Pelantikan seorang pesara guru Maarof Mohd Rashad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 adalah muktamad, kata bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, ini adalah selaras dengan peruntukan pada Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, khasnya Perkara 16.

Iklan
Iklan

"Jadi, dengan adanya nasihat Menteri Besar dan sebagainya di bawah kuatkuasa itu, maka pemilihan (pelantikan) Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 sudah muktamad dan mengikut lunas yang tertinggi dan tidak boleh digubal semula atau diperbaharui.

Rais yang juga bekas anggota Parlimen Jelebu ditemui pada majlis 'Patagak Datuek Ampek' di Rumah Gadang Budi, Kampung Gagu dekat sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian berikutan bantahan Datuk Lembaga Delapan (Tiang Balai) Luak Jelebu baru-baru ini atas pelantikan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.

Rais berkata berasaskan kes pelantikan Undang Luak Jelebu ke-15 Datuk Musa Abdul Wahab pada 1981 semasa beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu, kes itu adalah muktamad dengan penghakiman oleh Azlan Shah bahawa pertelingkahan adat di luak atau di negeri tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Iklan

Maarof diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu istiadat pada 20 Dis 2018 bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Terdahulu pada majlis itu, Mat Sidek Sikin, 83, dilantik sebagai Datuek Ampek (Datuk Empat) Kampung Gagu, manakala Azahari Tasmin, 69, pula dilantik sebagai Datuek Mangku (Datuk Mangku) Kampung Gagu.

Majlis itu dijalankan dengan penuh adat istiadat mengikut masyarakat Minangkabau dan Rais turut menyerahkan surat pelantikan mereka berdua.

Rais berkata selain sebagai pentadbiran adat, Datuk Empat juga berperanan memberi keharmonian pada masyarakat.- Bernama