MISI memperkenalkan sukan boccia kepada rakyat Malaysia akhirnya tercapai buat Chew Wei Lun selepas memberi kejutan dengan merangkul pingat perak dalam acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal di Sukan Paralimpik Tokyo pada Rabu.
Kejayaan di luar dugaan pada penampilan sulung dan penyertaan pertama Malaysia dalam sukan itu di temasya berprestij tersebut secara tidak langsung mencuri tumpuan peminat sukan tanah air untuk mengenali sukan berkenaan secara lebih dekat.
"Tak sangka dapat pingat sebab memang kita datang nak promosi boccia supaya rakyat Malaysia lebih kenal sukan ini.
"Akhirnya sudah ramai mula mengenali boccia dan diharapkan agar lebih ramai individu akan wakili negara pada masa akan datang...pingat ini untuk pasukan saya dan sukan boccia,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.
Terdahulu, Wei Lun yang juga pemain ke-11 dunia dan pemain lelaki kelima terbaik Asia mara ke final selepas menewaskan lawan dari Portugal, Andre Ramos dengan keputusan 9-5 di separuh akhir.
Pada aksi final, beliau tewas kepada juara bertahan dari Great Britain, David Smith, 2-4, di Pusat Gimnastik Ariake.
Atlet dari Johor berusia 26 tahun itu yang mempunyai rutin gemar berehat (tidur) sebelum sesuatu perlawanan, juga tidak mampu meramal apa yang bakal dihadapinya terutamanya dalam memburu slot ke Paris 2024.
"Perjalanan masih terlalu panjang (Paris 2024), saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Wei Lun hadiahkan pingat perak
Sementara itu, jurulatihnya, Aiman Hafizi Abu Bakar, 26, juga bersyukur dan turut senada bahawa pencapaian anak buahnya itu akhirnya membuka mata kepada rakyat Malaysia mengenai sukan yang khusus kepada golongan celebral palsy itu.
Jurulatih dari Cheras, Kuala Lumpur yang mula melatih Wei Lun sejak 2019 tidak menyangka bahawa atletnya mampu mengorak langkah lebih jauh sehingga ke final selepas hanya meletakkan sasaran ke suku akhir sebelum ke Tokyo.
"Saya gembira...penat lelah kami untuk tunaikan misi mempromosi sukan boccia akhirnya tercapai,” katanya sambil menitiskan air mata susulan kejayaan mereka.
Mengenai perwatakan Wei Lun, Aiman Hafizi mengakui selain pendiam, atlet itu juga mempunyai perwatakan unik apabila lebih mementingkan dirinya berbanding memberi tumpuan kepada atlet lain.
"Sesetengah atlet akan memberi tumpuan kepada lawannya namun beliau tidak begitu namun kami akan beri tunjuk ajar apa yang perlu dilakukan sekiranya bertemu lawannya,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Aiman Hafizi memaklumkan bahawa Wei Lun juga tidak pernah mempertikai sebarang keputusan dibuat dan hanya menurut arahan serta strategi direncanakan bagi menghadapi pertandingan disertai.
Beliau juga bangga dengan aksi Wei Lun yang dilihat memberi tentangan sengit kepada Smith dalam pertembungan sulung mereka di sini.
Pencapaian atlet itu membantu Malaysia menambah koleksi pingat perak kepada dua selepas atlet powerlifting Jong Yee Khie merangkul perak pertama dalam kategori lelaki 107kg Isnin lalu.
Badang kerdil dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, yang bertanding dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pula muncul atlet pertama negara menghadiahkan emas pertama Sabtu lepas dalam temasya berprestij itu.