SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan pemindahan operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang sebelum ini terletak di Subang, Selangor ke lokasi baharu di Sepang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, pemindahan tersebut dilakukan pada jam 2 pagi, 1 September 2021 sekali gus menjadi detik bersejarah bagi industri penerbangan negara apabila ruang udara baharu itu distruktur semula menjadi 14 sektor berbanding tujuh sebelum ini.
"Struktur baharu ini dilengkapi dengan penambahan laluan udara baharu serta pelepasan dan ketibaan yang menepati piawaian ditetapkan.
"Penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan pendapatan negara melalui pengembangan industri penerbangan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut Ka Siong berkata, pemindahan operasi struktur ruang udara baharu itu telah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menyeragam dan mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam reka bentuk Maklumat Penerbangan Ruang Udara Kuala Lumpur (KL FIR).
Jelas beliau, dengan pembinaan KL FIR yang baharu itu, ia akan membolehkan lebih banyak pesawat mendarat pada waktu puncak atau slot premium dan seterusnya meningkatkan kapasiti pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada 78 kepada 108 pesawat sejam dan jumlah ini adalah antara yang tertinggi di dunia.
"Selain itu, reka bentuk ruang udara yang baharu ini juga membolehkan lebih banyak pergerakan pesawat setiap jam dengan memanfaatkan sepenuhnya tiga landasan yang terdapat di KLIA secara serentak.
"Struktur ruang udara yang serba baharu akan menyediakan pengurusan lalu lintas di ruang udara yang lebih efisien dan lancar, meningkatkan kecekapan Sistem Pengawasan serta Sistem Komunikasi dan Navigasi KL FIR untuk membolehkan pelaksanaan Navigasi Berasaskan Prestasi (PBN).
"Ia juga akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri penerbangan dengan meningkatkan ketersediaan dan hubungan industri penerbangan awam negara," katanya.
Tambah beliau, dengan rekaan berbentuk layang-layang tradisional tempatan atau wau bersama sentuhan moden, KLATCC adalah tonggak penting bagi industri penerbangan awam negara dan akan menjadi kebanggaan Malaysia.
"Majlis pelancaran rasmi akan diadakan pada waktu yang sesuai dalam masa terdekat," katanya.