5 'Inisiatif Mantap' keluarkan Keluarga Malaysia dari kesan pandemik

Iklan
Idris Ahmad - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggariskan lima strategi dikenali sebagai ‘Inisiatif Mantap’ yang memberi fokus dalam pelaksanaan dasar dan program ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Menterinya Idris Ahmad berkata, inisiatif itu selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa fokus utama kerajaan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Iklan
Iklan

"Inisiatif itu adalah Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani; Pemantapan Sistem Pendidikan Islam; Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam; Pemantapan Institusi Masjid dan Surau serta Pemantapan Sosioekonomi Ummah.

"Bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan program dan aktiviti agensi agama dapat dilaksanakan secara berkesan, kami sepakat untuk turut menyelami jiwa dan perasaan seluruh lapisan Keluarga Malaysia. Dengan itu, saya telah mencadangkan tema pentadbiran hal ehwal Islam kini iaitu bertemakan ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pada Rabu.

Idris berkata, bagi Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, antara penekanan yang akan diberikan termasuk membina kembali kekuatan mental, jasmani serta rohani melalui pelbagai pendekatan seperti program ‘outreach’ ke seluruh negara bagi menyantuni Keluarga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Iklan

Beliau berkata, bagi inisiatif Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, pihaknya berazam untuk memastikan mekanisme pengajaran dan pembelajaran kurikulum pendidikan seperti Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, pendidikan Sekolah Menengah Agama Rakyat dan negeri, pendidikan tahfiz dan pondok dibuat kajian seterusnya cadangan penyesuaian semula mengikut norma baharu pendidikan masa kini.

"Bagi inisiatif Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam pula, sebuah jawatankuasa bersepadu di peringkat persekutuan akan dicadangkan bagi menyelaras isu kekeluargaan, sosial dan komuniti ke arah membawa Keluarga Malaysia keluar daripada tekanan pandemik COVID-19. Seramai 4,000 guru Takmir di bawah Jakim di seluruh negara akan dimanfaat untuk menyantuni perkara ini.

"Bagi inisiatif Pemantapan Institusi Masjid dan Surau, program pengimarahan keilmuan memantapkan akidah, syariah dan akhlak masyarakat diteruskan secara norma baharu melalui pendanaan dan penganjuran pihak masjid dan surau. Justeru, masjid hendaklah dilengkapi dengan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat terkini bagi meningkatkan urustadbir dan aktiviti pengimarahan masjid,” katanya.

Bagi inisiatif terakhir iaitu Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah, perubahan pendekatan agihan zakat mesti dilakukan daripada permohonan kepada penawaran supaya menepati maqasid zakat dan beliau turut berpandangan Yayasan Amal Malaysia dapat dilibatkan secara langsung dalam membantu institusi zakat meningkatkan keberkesanan agihan zakat kepada asnaf di negeri-negeri.

Idris berkata, sehubungan itu, bagi memastikan Inisiatif Mantap dapat dilaksanakan dengan segera, pihaknya telah menetapkan tempoh kurang 10 hari bagi semua agensi di bawah kementerian untuk merangka Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 atau PIAGAM-C19.

"Saya telah mengarahkan Jakim untuk menyelaras semua 14 agensi Islam dan sebuah sekretariat khas akan diwujudkan Jakim bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dapat dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Saya dan timbalan saya beserta agensi-agensi di bawah saya dalam tempoh dua minggu mulai hari ini akan membuat libat urus dengan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang kaum serta fahaman politik bagi membincangkan solusi terbaik ke arah menjayakan Inisiatif Mantap,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan meneruskan polisi yang baik di bawah portfolio hal ehwal agama yang telah dibentuk oleh bekas menteri sebelum ini, antaranya dasar Manhaj Rabbani.

"Kami akan melihat ruang-ruang penambaikan daripada aspek pelaksanaan bagi memastikan semua agensi kerajaan, swasta dan rakyat keseluruhannya dapat menghayati dan menterjemah dasar tersebut dalam bentuk pelaksanaan aktiviti dan program membentuk masyarakat Rabbani,” katanya. - Bernama