PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa semua ahli politik, khususnya ahli Parlimen, untuk mengadakan gencatan politik bermula sekarang hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Saifuddin, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang berkata, ini bagi membolehkan semua pihak fokus kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan membangunkan semula ekonomi.
Beliau berkata, langkah itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Ahli Dewan Rakyat mengurangkan pergeseran dan pertelingkahan politik.
"Kita memerlukan masa untuk bertenang dan harus ada semacam gencatan senjata politik. Waktu bertenang juga perlu untuk kita tetapkan semula sistem.
"Jadi menjelang PRU15, rakyat boleh memilih apa yang terbaik untuk masa depan negara,” katanya pada sidang media di Wisma Putra pada Rabu.
Saifuddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah menyatakan keterbukaan beliau pada pertemuan dengan tiga pemimpin utama pembangkang beberapa hari selepas beliau dilantik ke jawatan itu.
Ismail Sabri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa pertemuan pada 25 Ogos lepas bersetuju mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.
Usaha sama itu juga disuarakan Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos dengan menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. - Bernama