PUTRAJAYA - Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati mengenai pendirian negara ini terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Menurut beliau, kerajaan memantau perkembangan di Afghanistan terutamanya di Kabul.
"Kami menerima laporan daripada pelbagai sektor dan kami akan membuat keputusan dalam masa terdekat.
"Buat masa ini kami masih menilai situasi di Afghanistan," katanya pada sidang akhbar pada hari pertamanya di kementerian di sini Rabu.
Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu. Presiden, Mohammad Ashraf Ghani turut bertindak meninggalkan Afghanistan.
Ditanya mengenai laporan dua rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dengan Daesh dan kini ditahan Taliban, Saifuddin berkata, beliau sudah bercakap dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengenai perkara itu.
"Polis masih menunggu laporan sahih mengenai dua orang yang dilaporkan sebagai rakyat Malaysia itu.
"Bagaimanapun, memang ada dua orang lagi rakyat Malaysia yang berada di sana secara sukarela kerana mereka berkhidmat dengan dua buah organisasi kemanusiaan, jadi itu buat masa ini tiada isu,” katanya.
Mengenai pendekatan ASEAN menangani krisis di Myanmar, Saifuddin berkata, Malaysia yakin bahawa duta khas ASEAN ke Myanmar Erywan Mohd Yusof mampu memainkan peranannya.
"Saya akan menemuinya secepat mungkin," katanya, sambil menambah ia adalah kesinambungan daripada apa yang telah dilaksanakan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Saifuddin berharap beberapa hasil positif dapat dicapai daripada konsensus lima perkara yang dimandatkan pemimpin ASEAN.
Mengulas mengenai isu Laut China Selatan, Saifuddin gembira dengan perkembangan berkaitan rundingan Kod Tata Laku (COC) berbanding ketika beliau menggalas tanggungjawab dalam urusan hal ehwal luar negeri sebelum ini.
"Ya sudah tentu kami ingin memastikan COC dapat dilaksanakan," katanya.
Menjawab soalan mengenai hubungan Malaysia dengan Singapura pula, terutama berkaitan perjanjian air dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, Saifuddin berkata, hubungan dua hala sentiasa baik.
Menurut Saifuddin, hubungan dengan rakan sejawatannya, Vivian Balakrishnan amat baik dan berharap hubungan itu dapat terus diperkukuh.
"Hubungan kami (saya dan Vivian) seperti rakan yang akrab. Jadi tiada sebarang masalah antara antara saya dan Vivian,” katanya. - Bernama