Takiyuddin mahu terus perkasa agenda KeTSA

Iklan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR - Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini menzahirkan komitmen kementerian itu dalam meneruskan agenda terutama memastikan kekayaan sumber asli dijaga, diurus secara mapan dan bertanggungjawab untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, selaras dengan agenda menangani perubahan iklim negara, KeTSA juga komited meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Pembekalan Elektrik 2021-2039.

Iklan
Iklan

"Saya berkeyakinan dan komited untuk menggalas tanggungjawab dan amanah ini untuk mencapai visi dan misi, memacu inisiatif utama berpaksikan rakyat serta mengutamakan budaya kerja berprestasi tinggi bagi menyokong inisiatif kerajaan mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Takiyuddin yang melapor diri di kementerian itu hari ini, diberi tanggungjawab mengemudi KeTSA bersama dengan Timbalannya, Datuk Ali Biju.

Iklan

Beliau juga berkata, pelbagai strategi dan program seperti pensijilan pengurusan hutan, catuan tebangan tahunan, pelaksanaan amalan terbaik dalam pengusahasilan hutan, pengurusan hidupan liar serta kawasan berkepentingan biodiversiti antarabangsa akan diteruskan dan dipantau secara bersama dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, dua inisiatif nasional iaitu ‘Central Forest Spine’ (CFS) dan ‘Heart of Borneo’ (HoB) akan terus dilaksana untuk melindungi ekosistem hutan dan biodiversiti di samping meneruskan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Menanam Pokok 100 Juta (2021 hingga 2025).

Iklan

"Selain itu, pemerkasaan usaha-usaha konservasi Harimau Malaya diteruskan untuk memastikan negara tidak akan kehilangan spesies ikonik ini melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya.

"KeTSA juga telah menyediakan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 bagi membangunkan industri mineral secara mapan dan lestari.

"Selaku peneraju sektor ekopelancongan sumber asli negara, KeTSA komited bagi memastikan Taman Negara, Taman Ekorimba, Hutan Taman Negeri dan Geotapak terus diperkasa melalui pengukuhan tadbir urus, naik taraf infrastruktur serta pembangunan modal insan serta penghasilan produk baharu bagi meningkatkan taraf ekonomi setempat," katanya.

Takiyuddin juga berkata, Pelaksanaan Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta di setiap negeri akan diteruskan bagi meningkatkan kualiti dan prestasi pentadbiran tanah agar lebih efisien serta berintegriti.

Beliau berkata, KeTSA juga akan meneruskan usaha pencegahan dan mitigasi geobencana melalui pelaksanaan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).

Katanya, dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara bagi mendepani situasi pandemik semasa dan bencana, 10 Peraturan Tetap Operasi (PTO) Penyampaian Maklumat Geospatial Bencana turut disediakan meliputi wabak penyakit berjangkit, pencerobohan tanah, tanah runtuh, gangguan utiliti dan kebakaran hutan. - Bernama