Rakyat perlu ‘sahut’ hasrat PM

Iklan
Petugas KKM tetap komited dalam melaksanakan tanggungjawab meskipun terpaksa bertugas pada hujung minggu dan ada juga dalam kalangan mereka terkorban kerana dijangkiti Covid-19 demi memerangi pandemk itu. - Foto Bernama

TARIKH keramat 31 Ogos pasti diraikan sebagai sambutan ulang tahun negara yang bebas daripada cengkaman penjajah.

Selain memperingati pengorbanan wira-wira negara dalam mempertahankan tanah air, pengisian hari kemerdekaan tahun ini juga perlu dihayati melalui pengorbanan pelbagai pihak dalam usaha memerdekakan negara daripada wabak penyakit Covid-19 yang melanda.

Iklan
Iklan

Kita bukan sahaja berdepan dengan krisis kesihatan, namun krisis ekonomi dan politik juga turut berlaku secara serentak.

Boleh dikatakan hampir 1.7 juta rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 malah daripada jumlah tersebut seramai 16,087 telah pun terkorban.

Iklan

Setiap hari, begitu banyak sekali liang lahad yang digali, ibarat menyemadikan pahlawan yang rebah di medan perang yang mana musuhnya adalah virus Covid-19 itu sendiri.

Jika dilihat kepada angka kes positif harian yang masih tinggi, agak sukar untuk kita membebaskan diri daripada belenggu pandemik global dalam masa terdekat.

Iklan

Bagaimanapun, sewaktu dalam Perutusan Hari Kebangsaan Ke-64 pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak Keluarga Malaysia untuk bersama-sama memerdekakan negara dengan berjuang melawan pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan juga kestabilan politik.

Ini berikutan cabaran yang sedang dihadapi hari ini belum pernah ditempuhi oleh sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini di mana negara berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit serta kegawatan ekonomi yang menggugat kestabilan politik negara.

Walaupun Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown dilaksanakan Jun lalu, kita dapat lihat kadar jangkitan harian semakin meningkat, malah kini melebihi 20,000 kes sehari.

Dari segi ekonomi negara pula, ia terjejas teruk berikutan ramai yang hilang hilang mata pencarian, dibuang kerja, perniagaan terpaksa gulung tikar, gaji dipotong separuh dan ada pula terpaksa mengambil cuti panjang tanpa gaji. Tahun lalu sahaja, kadar kemiskinan negara meningkat ke paras 8.4 peratus.

Selain itu, sekitar 600,000 golongan M40 tergelincir menjadi B40, hutang isi rumah sudah berada pada sekitar 93 peratus dan kadar pengangguran pada Mei 2020 sudah pun mencecah 5.3 peratus.

Kadar pengangguran generasi muda pula semakin meningkat, manakala fenomena underemployed pula semakin meruncing.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri, rakyat perlu bekerjasama dalam memerdekakan negara daripada tentera halimunan Covid-19.

Ini juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mana ia bersifat inklusif, malah dekat dengan rakyat di samping menunjukkan satu nilai prihatin serta kasih sayang semua ahli keluarga besar negara.

Konsep ini juga turut mengajak seluruh rakyat merentasi fahaman politik, tidak kira kaum dan agama untuk mendakap erat prinsip kebersamaan supaya dapat bersama-sama keluar daripada krisis akibat pandemik Covid-19.

Memang tidak dapat dinafikan rata-rata masyarakat sudah semakin lelah, namun bagi anggota barisan hadapan yang turun ‘berperang’ sejak pandemik dikesan di negara khususnya petugas kesihatan, ternyata tidak wujud istilah lelah ataupun putus asa.

Justeru, masing-masing seharusnya bersama-sama berganding bahu kerana kejayaan ini pasti akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

Harus diingatkan juga, terdiri sesebuah negara kerana adanya yang memimpin dan yang dipimpin. Jika salah satunya tiada, maka tak wujudlah negara tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa turut menitahkan kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan membantu rakyat yang terkesan serta mengembalikan iklim ekonomi sihat selari dengan tema Hari Kebangsaan, Malaysia Prihatin.

Seri Paduka juga menasihati rakyat agar terus menjaga kesihatan dan bersatu padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat demi membendung penularan pandemik Covid-19.

Harapan kita agar segala krisis yang melanda Malaysia akan cepat berakhir dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

* Raja Nur Faznie Aida ialah Wartawan Sinar Harian