TI-M sokong gesaan Azalina perkenal Akta Pemecatan Ahli Parlimen

Iklan
Muhammad Mohan

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) menyokong gesaan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen kepada Dewan Rakyat.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, akta yang diusulkan itu berfungsi sebagai undang-undang bagi mencegah perbuatan lompat parti serta sudah lama disokong oleh pakar dan organisasi sivil seperti Bersih 2.0.

Iklan
Iklan

"Rakyat yang memilih kerajaan menerusi pilihan raya pada tahun 2018 telah dirampas kuasa dan hak mereka ketika berdepan dengan kerajaan yang tidak dipilih oleh mereka secara sah.

"Lebih menyedihkan apabila sekutu dan kepemimpinan yang dimandatkan secara demokratik, semuanya dibuat olok-olok melalui aktiviti lompat parti, pecah amanah dan semangat kesetiaan yang kian luntur,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Pada Rabu, Azlina dalam satu kenyataan berhasrat menghantar notis usul bagi membentangkan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula atau 'recall election'.

Beliau bercadang menghantar notis usul tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan bermula pada 13 September ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhammad Mohan berkata, demokrasi yang matang sememangnya melibatkan institusi demokrasi yang kuat.

Justeru, katanya, undang-undang mencegah lompat parti diperlukan bagi memberi kuasa semula kepada rakyat untuk menarik sokongan daripada wakil rakyat yang telah membelakangi mereka.

"Ini adalah wajar bagi memastikan pembaharuan yang dijanjikan dapat dijalankan secara adil dan fungsi pentadbiran awam terlaksana secara langsung.

"Ahli Parlimen dan wakil rakyat bertanggungjawab kepada pengundi di kawasan masing-masing dengan menjalankan amanah, bukan kepada pemimpin parti, kumpulan tertentu dan janji-janji jawatan serta kemewahan,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:Azalina cadang hantar notis usul RUU berkaitan recall election