IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memfokuskan kepada enam bidang utama dalam usaha memerangi rasuah di peringkat organisasinya menerusi Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MBI 2021-2025.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bidang tersebut ialah Tadbir Urus, Khidmat Pengurusan, Kewangan dan Perolehan, Perancangan dan Pembangunan Bandaraya, Pelesenan serta Penguatkuasaan dan Perkhidmatan.
Rumaizi berkata, beliau yakin dengan komitmen semua pihak, pelan tersebut dapat memacu MBI melaksanakan segala proses penyampaian perkhidmatan dengan lebih sistematik, dinamik, efisien dan berintegriti.
"Kepentingan meletakkan budaya berintegriti di tahap tertinggi bukan sesuatu yang baharu. Ia menjadi keutamaan dalam hidup kita sepanjang masa.
"Namun, apabila berlaku konflik kepentingan, keutamaan haruslah diberikan kepada kelangsungan kepentingan awam.
"Maka adalah penting bagi anggota MBI melaksanakan segala amanah dengan sebaiknya supaya tahap kepercayaan warga kota Ipoh terhadap anggota MBI tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan, keselamatan dan keharmonian bandar raya Ipoh," katanya ketika berucap pada pelancaran OACP MBI 2021-2025 dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad secara maya di sini pada Khamis.
Rumaizi berkata, IBR itu akan dilaksanakan kepada kumpulan-kumpulan berkepentingan dari semasa ke semasa sebagai tanda komitmen terhadap membanteras isu rasuah dan penyelewengan kuasa.
"Inisiatif MBI untuk membangunkan seterusnya melancarkan Pelan Antirasuah MBI diyakini akan bertindak sebagai satu langkah ke depan yang lebih komprehensif dalam melahirkan anggota MBI berintegriti tinggi dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.
"Kerja-kerja ini tidak akan berhenti setakat ini kerana ia merupakan program yang berterusan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, OACP hendaklah dijadikan panduan kepada seluruh warga MBI untuk memperkukuhkan nilai jati diri daripada terjebak dengan jenayah rasuah serta pelanggaran integriti.
"MBI harus komited mendukung aspirasi berkenaan dan seterusnya membangunkan pelan antirasuah ini sebagai salah satu langkah kawalan dalaman.
"OACP adalah usaha MBI untuk menangani risiko perlakuan jenayah rasuah dan pelanggaran integriti oleh warga kerjanya dan seterusnya memperkukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan MBI kepada masyarakat," katanya.