ATLET olahraga Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin merancang membuka pusat urut sukan selepas membuat keputusan untuk bersara daripada dunia sukan susulan penampilan terakhirnya di Sukan Paralimpik Tokyo, Selasa lepas.
Selain memberi tumpuan penuh kepada keluarga, pelari kelahiran Johor berusia 32 tahun itu memaklumkan pembukaan pusat urut sukan itu merupakan sebahagian daripada pelan persaraan jangka panjangnya untuk menampung keperluan hidup di masa depan.
"Insya-ALLAH saya rancang untuk buka pusat urut di Johor. Saya ada mendalami ilmu urut berdasarkan pengalaman menjadi atlet sukan, saya tahu mengurut secara betul di bahagian badan yang mengalami kecederaan.
"Saya juga ada ambil kursus urutan sukan di luar, jadi saya harap orang ramai dapat menyokong perniagaan saya nanti,” katanya kepada Bernama.
Siti Noor Iasah yang terpaksa berlari dalam cuaca hujan ketika acara akhir 400m wanita T20 (kecacatan intelektual) di Stadium Olimpik itu menamatkan larian di tempat terakhir dengan catatan masa 1 minit 01.05s.
Acara itu dimenangi Breanna Clark dari Amerika Syarikat yang memecahkan rekod dunia dengan catatan 55.18s manakala perak diraih Yuliia Shuliar dari Ukraine dengan catatan masa 56.18s dan gangsa diraih Jardenia Felix Barbosa Da Silva dari Brazil dengan 57.43s.
Pada masa sama, beliau meluahkan rasa kecewa apabila tidak berupaya menunaikan permintaan anaknya, Nur Iman Qaisara, 9, yang mahu menyaksikannya menampilkan larian terbaik di Tokyo.
"Maafkan mama tak dapat lari laju, anak saya merupakan sumber inspirasi saya untuk bertanding, saya selalu bawanya ke latihan sejak kecil lagi,” katanya dalam nada sebak.
Beliau juga bersyukur kerana sepanjang penglibatan dalam bidang sukan dan mula mewakili negara pada usia 13 tahun, beliau sentiasa mendapat sokongan padu daripada ahli keluarga.
Katanya, dengan usia yang semakin lanjut selain tidak berupaya menyaingi kehebatan pelari lain yang jauh lebih muda berbandingnya juga menyebabkan beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia olahraga.
Lima tahun lepas, Siti Noor Iasah terlepas pingat gangsa apabila pelari Poland, Barbara Niewiedzial merebahkan badan di garisan penamat pada peringkat akhir acara yang sama di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016. - Bernama