STOCKHOLM - Orang ramai yang sudah mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 tidak perlu tergesa-gesa mendapatkan suntikan ketiga, kata agensi Pusat Eropah Bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ECDC).
Bagaimanapun, menurut ECDC, satu dos tambahan iaitu suntikan ketiga perlu dipertimbangkan untuk diberikan kepada penduduk yang mengalami masalah sistem imun yang bermasalah.
Iklan
Iklan
Semua vaksin yang diluluskan penggunaannya di Kesatuan Eropah (EU) ketika ini memberi perlindungan kepada para penerimanya bagi menghalang mereka dimasukkan ke hospital, mendapat penyakit kronik dan kematian, kata agensi tersebut.
Dalam pada itu, ia berkata, seorang daripada tiga golongan dewasa di EU yang berumur lebih 18 tahun ke atas masih belum mendapat dua suntikan vaksin Covid-19.
Laporan itu didedahkan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik negara-negara kaya yang menyediakan suntikan ketiga vaksin kepada penduduknya.
Namun, ketika negara-negara kaya tersebut berbuat demikian, terdapat pula negara- negara miskin yang masih sukar untuk mendapatkan bekalan bagi memperoleh suntikan pertama vaksin tersebut.
Pada bulan lalu, WHO memberitahu, data saintifik menunjukkan tidak perlu suntikan penggalak atau ketiga dilakukan. - Agensi