KUALA LUMPUR - Polis akan mengedarkan lakaran wajah suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun motosikal di Jalan Kuching di sini pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian berkenaan.
"Bagaimanapun, rakaman itu jauh dari lokasi berkenaan dan keadaan gelap menyukarkan kita untuk mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dalam kes itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kekasih berdepan detik cemas motosikal dihimpit, disamun
Eng Lai berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan mangsa dan mendapatkan lakaran suspek berdasarkan keterangan itu.
Pada 26 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan, manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Tangan kanan mangsa wanita terbabit juga terpaksa dipotong akibat kecederaan dialami dalam kejadian itu.
Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal jenis Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.
Siasatan awal mendapati, suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.