Empat hotel disyaki jalani kegiatan tidak bermoral diarah tutup

Iklan
Penguatkuasa semasa Ops Patuh Terhadap Premis-Premis Komersial di sekitar ibu negara. - Foto FB DBKL

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup 17 premis perniagaan termasuk empat hotel yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral dan dikendalikan warga asing menerusi Ops Patuh Terhadap Premis-Premis Komersial di sekitar ibu negara yang dilaksanakan dari 15 hingga 31 Ogos lepas.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan premis itu diarah tutup di bawah seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976, dan pada masa sama pihaknya mengeluarkan 91 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan di premis-premis komersial berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, 30 warga asing yang terdiri daripada lima warga Vietnam, tujuh warga Thailand, 12 warga Indonesia serta enam rakyat Bangladesh yang bekerja sebagai tukang urut dan pengendali premis ditahan dalam operasi itu.

"DBKL turut menyita 45 barangan daripada premis terbabit seperti kamera litar tertutup (CCTV), televisyen, kondom, minyak pelincir, buku log, monitor, video dekoder dan lain-lain peralatan,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Sebanyak 621 premis/syarikat diperiksa sepanjang operasi itu melibatkan aktiviti perhotelan, pusat urut, restoran, kedai runcit, pasar raya, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang telah dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut DBKL 22 notis kompaun telah dikeluarkan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atas pelbagai kesalahan terhadap individu, pemilik premis, syarikat yang ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Iklan

"Warga kota diminta untuk terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada DBKL secara dalam talian melalui https://adukl.dbkl.gov.my,” menurutnya. -Bernama