KOTA BHARU - Proses vaksinasi Covid-19 membabitkan kira-kira 5,000 banduan di empat penjara di negeri ini perlu dipercepatkan berikutan kesesakan yang berlaku.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, setakat Julai, hampir 1,000 banduan di penjara tersebut sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Beliau berkata, selebihnya pula dijangka akan menerima suntikan vaksin pada bulan ini.
"Keadaan terkini Covid-19 dalam kalangan banduan di penjara berada pada tahap terkawal, namun vaksinasi perlu lebih cepat kerana jumlah mereka melebihi kapasiti sepatutnya.
"Bagaimanapun, penghuni di dalam sel tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian seperti memakai pelitup muka sekiranya keluar daripada sel mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Penjara Pengkalan Chepa di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu melawat tapak semaian rock melon yang turut dihadiri Pengarah Operasi Loging Farmers Sdn Bhd (Subsidiari El Matta Sdn Bhd), Bok Chee Kit.
Sementara itu, Mat berkata, program vaksinasi Covid-19 kepada banduan dijalankan di dalam penjara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mereka yang baru dijatuhi hukuman terlebih dahulu akan menjalani ujian saringan Covid-19 dan ditempatkan ke penjara satelit bertujuan untuk dikuarantinkan sebelum ditempatkan ke mana-mana penjara.
"Setiap penghuni penjara perlu diberikan vaksin Covid-19 bagi melindungi mereka, kakitangan dan keluarga kakitangan daripada jangkitan,” jelas beliau.
Ketika ini, terdapat empat penjara di Kelantan iaitu Penjara Satelit, Pasir Mas; Penjara Pengkalan Chepa; Pusat Koreksional Machang dan Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Krai.